Mahkamah perdagangan kekalkan pemansuhan pengecualian import "de minimis” oleh Trump

Iklan
Donald Trump. Foto Agensi

ISTANBUL - Sebuah mahkamah perdagangan persekutuan pada Khamis mengekalkan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memansuhkan pengecualian"de minimis” yang sebelum ini membolehkan barangan bernilai rendah memasuki negara itu tanpa dikenakan duti, lapor Anadolu Ajansi.

Trump menerusi platform Truth Social menyambut baik keputusan itu dengan menyifatkannya sebagai"KEMENANGAN BESAR” selain menyebut pengecualian berkenaan sebagai antara"kelompongan paling BURUK dalam Dasar Perdagangan Amerika.”

Iklan
Iklan

Beliau berkata bungkusan bernilai sehingga AS$800 sebelum ini boleh memasuki AS tanpa dikenakan duti dan tertakluk kepada pemeriksaan yang lebih longgar, sekali gus membuka ruang kepada pengelakan tarif serta penyalahgunaan oleh pengedar fentanyl, pemalsu barangan dan penjenayah lain.

Menurut Trump, pengecualian itu menyebabkan AS kehilangan anggaran hasil tarif berjumlah AS$10.8 bilion pada 2024.

Iklan

"Jadi, kami MENUTUPNYA,” kata beliau sambil menambah bahawa keputusan mahkamah itu mengesahkan kuasa undang-undangnya untuk menarik balik"keistimewaan” berkenaan.

Detroit Axle memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump pada Mei 2025 dengan mendakwa Presiden itu tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA) untuk menamatkan pengecualian itu. 

Iklan

Trump sebelum ini turut menggunakan IEEPA sebagai asas bagi pelaksanaan tarif menyeluruh yang digelar tarif"Hari Pembebasan”, namun Mahkamah Agung membatalkannya pada Februari selepas memutuskan bahawa undang-undang berkenaan tidak memberikan kuasa untuk mengenakan tarif itu. 

Bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS pada Khamis memutuskan bahawa IEEPA membenarkan Trump memansuhkan pengecualian"de minimis", menurut rangkaian CNBC.

"Dalam mencapai kesimpulan ini, kami mendapati bahawa kuasa Presiden untuk ‘membatalkan ... pelaksanaan apa-apa ... keistimewaan’ tidak bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa,” menurut hakim dengan memetik peruntukan undang-undang berkenaan.

Panel itu turut memutuskan bahawa pemansuhan pengecualian itu"bukan pelaksanaan kuasa berkaitan kewangan negara” dan"bukan pelaksanaan kuasa menggubal undang-undang.” - Bernama