Jangan scroll media sosial jika anda lalai waktu

Iklan
Ketagihan skrin yang semakin ketara sebenarnya menjejaskan prestasi pembelajaran serta produktiviti kerja. Gambar hiasan

“SEKEJAP sahaja, nak tengok TikTok.” Biasa dengarkan? Bukan sahaja anda, malah penulis juga kerap begitu. Itu alasan paling kerap kita gunakan ketika membuka platform media sosial baik TikTok, Facebook, Instagram, Threads mahupun X.

Malang sekali, dalam banyak keadaan, ‘sekejap’ itu akhirnya menjadi satu jam, dua jam malah ada yang hanya sedar masa sudah lewat malam atau mungkin sudah dinihari.

Iklan
Iklan

Media sosial hari ini bukan lagi sekadar ruang hiburan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian masyarakat di seluruh dunia.

Bangun tidur tengok telefon, waktu makan tengok telefon, sebelum tidur pun masih menatal skrin. Bagi penulis, masalah utama bukan kewujudan media sosial itu sendiri, tetapi kegagalan kita sebagai pengguna untuk mengawal masa.

Iklan

Menurut laporan Digital 2026: Malaysia oleh DataReportal, rakyat Malaysia menghabiskan purata 8 jam 12 minit sehari di internet, manakala sekitar 2 jam 48 minit sehari digunakan khusus untuk media sosial.

Jika dihitung semula, hampir tiga jam sehari digunakan hanya untuk menonton video, membaca komen dan menatal kandungan. Dalam tempoh sebulan, jumlah itu melebihi 80 jam. Angka ini cukup besar untuk menunjukkan bahawa masa sebenarnya sedang beransur hilang tanpa kita sedari.

Iklan

Ketagihan skrin yang semakin ketara sebenarnya menjejaskan prestasi pembelajaran serta produktiviti kerja. Penggunaan media sosial secara berlebihan juga boleh menyebabkan gangguan tidur, hilang fokus dan keletihan mental.

Kesan paling cepat dirasai ialah fokus semakin pendek. Algoritma media sosial direka untuk memastikan pengguna terus berada dalam aplikasi.

Sering kali kita akan 'melekat' pada skrin terutama apabila menonton video pendek. Video singkat dan sentiasa bertukar menyebabkan otak terbiasa dengan rangsangan pantas.

Akibatnya, ramai mula sukar membaca artikel panjang, menyiapkan kerja tanpa gangguan atau memberi perhatian penuh ketika berbual. Penulis fikir keadaan ini tidak berlaku secara mendadak, tetapi perlahan-lahan membentuk tabiat yang menjejaskan daya tumpuan.

Selain itu, scroll tanpa henti juga memberi kesan kepada emosi. Kita melihat orang bercuti, membeli barang baharu, berjaya dalam kerjaya dan kelihatan sentiasa bahagia.

Media sosial juga sudah mula mengambil masa kita bersama keluarga. Ada yang duduk semeja tetapi masing-masing tunduk pada telefon. Anak bercakap sambil ibu bapa menatal skrin, pasangan berbual tetapi perhatian separuh lagi berada pada video sedang dimainkan.

Hubungan tidak semestinya rosak secara mendadak, namun ia boleh menjadi semakin hambar sedikit demi sedikit akibat terlalu fokus kepada skrin.

Namun, media sosial tidak boleh ditinggalkan sepenuhnya. Ia tetap mempunyai banyak manfaat seperti mendapatkan maklumat, belajar, berniaga dan berhubung dengan orang yang jauh.

Bezanya kita perlu mempunyai sempadan masa jelas. Tetapkan had penggunaan harian, matikan notifikasi tidak penting dan elakkan membuka aplikasi ketika bekerja atau sebelum tidur.

Media sosial boleh jadi alat membantu kehidupan, tetapi tanpa disiplin, ia juga boleh menjadi perangkap yang mencuri masa, fokus dan ketenangan tanpa disedari.

Kadang-kadang, tindakan paling bijak bukan menutup akaun media sosial, tetapi menutup aplikasi itu tepat pada waktunya. Penulisan ini bukan sahaja untuk anda tetapi peringatan untuk diri penulis juga.

*Puperahaizad Darsono ialah Sub Editor Sinar Harian