PUTRAJAYA - Sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi warga Bangladesh sejak setahun lalu akhirnya tumpas selepas dicekup dalam serbuan di Taman Wahyu, Kuala Lumpur pada Rabu.
Serbuan di dua unit kondominium itu digerakkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bermula jam 11.30 pagi hasil maklumat dan risikan selama seminggu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan bertindak menahan dua lelaki Bangladesh berusia 29 dan 32 tahun yang dipercayai berperanan sebagai dalang utama serta ahli sindiket.
Menurutnya, pasukan operasi telah menyita dua naskhah pasport Bangladesh tulen, sembilan nashkah pasport Bangladesh yang dipercayai palsu, telefon bimbit (3 unit) serta 700 helaian muka surat dan 300 kulit naskhah pasport pelbagai negara palsu.
"Turut dirampas cap keselamatan masuk KLIA, cap keselamatan keluar Batam dan cap keluar Dhaka, Bangladesh yang dipercayai palsu selain dua komputer riba bersama pencetak," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Setia Perkasa di sini pada Khamis.
Beliau berkata, soal siasat dalang utama menemukan simpanan wang di aplikasi e-wallet dalam telefon bimbit miliknya berjumlah RM200,000 dan dipercayai adalah hasil daripada kegiatan ini.
Kata Zakaria, semakan mendapati dalang terbabit memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi sektor pembinaan.
Mendedahkan modus operandi sindiket, Zakaria berkata, suspek menawarkan perkhidmatan kepada warga asing seperti Bangladesh, Nepal, Pakistan, Indonesia, serta Nepal yang berada di sekitar Lembah Klang yang ingin menjalani saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA), namun didapati tidak melepasi pemeriksaan atau berstatus tidak layak (unfit).
"Pasport yang dipalsukan akan dipinda atau diubah suai bagi membolehkan ia digunakan oleh orang lain semasa proses saringan kesihatan.
"Sindiket juga dipercayai memalsukan pasport atau memberikan ‘endosmen’ palsu ke dalam pasport bagi menunjukkan pasport yang dihasilkan mempunyai rekod pergerakan keluar dan masuk yang sah," ujarnya.
Jelasnya, bayaran yang dikenakan sebanyak RM200 hingga RM300 bagi setiap naskhah pasport.
Menurut beliau, JIM percaya tangkapan suspek terbabit memiliki latar belakang daripada aspek percetakan serta grafik selain kemungkinan menggunakan syarikat percetakan untuk kegiatan itu.
"Dipercayai suspek menyewa unit kondominium tersebut RM1,600 seunit," ujarnya.
Jelasnya, kejayaan operasi ini merupakan susulan daripada tangkapan tiga lelaki Indonesia pada 5 Ogos lalu berkaitan kegiatan pemalsuan dan pengubahsuaian pasport dan kes ini merupakan tangkapan kali keenam membabitkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 55D, Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(c) akta sama.