Selat Hormuz kekal ditutup - PGSA

Iklan
Data Kpler setakat Selasa menunjukkan sebanyak lapan kapal melalui Selat Hormuz yang merupakan angka terendah dalam tempoh seminggu. Foto Agensi

TEHERAN - Pihak berkuasa Iran yang mengawal Selat Hormuz di Teluk Parsi menolak sekeras-kerasnya dakwaan pegawai Amerika Syarikat (AS) bahawa laluan penting bagi penghantaran tenaga dan komoditi lain dari rantau Asia Barat telah dibuka semula.

"Kenyataan palsu oleh Washington tidak mengubah keadaan sebenar sama sekali. Sekatan akan diteruskan sehingga senarai syarat kami diterima AS,” menurut Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi (PGSA) dalam satu hantaran di platform X pada Rabu.

Iklan
Iklan

PGSA cuba mengelakkan kekeliruan selepas Presiden, Donald Trump mendakwa mereka kini mengawal Selat Hormuz sepenuhnya.

"Sekatan maritim kami ibarat ‘tembok besi’ yang tidak mampu ditembusi Iran," katanya dengan angkuh menerusi platform Truth Social.

Iklan

Pemimpin Republikan itu berulang kali mengeluarkan kenyataan provokatif untuk membangkitkan kemarahan Teheran dengan mendakwa Washington telah mengambil alih kawalan ke atas Selat Hormuz.

Sehingga kini, Iran dan AS masih gagal untuk mencapai kesepakatan bagi menamatkan perang secara kekal. Menurut sumber rapat di Teheran, tiada kemajuan dicapai dalam rundingan bagi menghidupkan semula perjanjian sementara yang dipersetujui pada Jun lalu.

Iklan

"Tiada rundingan untuk melanjutkan tempoh 60 hari kerana dari perspektif Iran, perjanjian itu tidak pernah dilaksanakan. AS yang terlebih dahulu melanggar perjanjian sementara tersebut 48 jam selepas ia dicapai dan menarik diri beberapa hari kemudian," jelas sumber itu lagi.

Kenyataan itu sekali lagi menjejaskan harapan untuk menyelesaikan krisis berkenaan susulan siri serangan baharu terhadap kapal-kapal di rantau tersebut pada Selasa lalu.

Memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini menetapkan penamatan serta-merta operasi ketenteraan, namun ia tidak bertahan lama sebaliknya situasi di rantau tersebut kekal tegang.

Sejak awal minggu lalu, Teheran dan Washington saling melancarkan perang retorik selepas AS terpaksa menghentikan operasi ketenteraan mereka kerana berdepan isu kekurangan bekalan peluru meskipun dinafikan Trump. - Agensi