Keluarga solat hajat di tebing Sungai Kelantan, mohon Muhamad Rayyan segera ditemukan

Iklan
Keluarga Muhamad Rayyan mengadakan solat hajat di tebing Sungai Kelantan, berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri di Kuala Krai pada Khamis bagi memohon doa agar dia ditemukan segera.

KUALA KRAI - Keluarga Muhamad Rayyan Hakimie Mohd Yusmiza, 14, mengadakan solat hajat di tebing Sungai Kelantan, berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri di sini pada Khamis bagi memohon doa agar dia ditemukan segera.

Muhamad Rayyan dikhuatiri lemas pada Selasa selepas dipercayai mandi-manda, manakala rakannya, Luth Naiman Mohd Noor Aziron,14, ditemukan pada jam 9.10 pagi pada Rabu pada jarak 50 meter dari lokasi mereka dikatakan hilang.

Iklan
Iklan

Bapanya, Mohd Yusmiza Mamat, 42, berkata, solat hajat itu dilakukan sebagai salah satu ikhtiar memohon kepada ALLAH SWT supaya dipermudahkan urusan pencarian anaknya.

Dia berkata, seramai 20 orang yang menunaikan solat hajat itu pada jam kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Iklan

"Mereka terdiri daripada ahli keluarga dan penduduk kampung yang bersama-sama mendoakan supaya usaha pencarian Muhamad Rayyan dipermudahkan.

"Pada masa sama, keluarga turut meminta penduduk kampung menunaikan solat hajat dan bacaan Yasin di masjid dan surau berdekatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.

Iklan

Terdahulu Sinar Harian melaporkan dua pelajar Tingkatan Dua dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi bersama tiga lagi rakan di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri di sini pada Selasa.

Dua remaja berkenaan dikenali sebagai Mohamad Rayyan dan Luth Naiman masing-masing berusia 14 tahun.

Dia berharap anaknya ditemukan dalam apa jua keadaan sekalipun.