‘KB Sentral ambil masa lebih lama disiapkan kerana Kerajaan Kelantan berhati-hati’ - Exco

Iklan
Dr Izani pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke -15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengambil pendekatan berhati-hati dalam menyiapkan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) di Tunjong bagi memastikan projek berkenaan tidak berdepan masalah lebih besar sekiranya kontraktor yang dilantik tidak mempunyai kemampuan kewangan atau kompetensi mencukupi.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri tidak mahu tergesa-gesa memilih kontraktor semata-mata untuk memastikan projek berkenaan siap dalam tempoh ditetapkan, namun akhirnya berdepan risiko projek terbengkalai atau syarikat mengalami kebankrapan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pendekatan itu menyebabkan tempoh pembangunan KB Sentral mengambil masa lebih lama, namun kerajaan negeri mahu memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dengan baik.

"Nanti kita tanggung seperti syarikat bankrap dan sebagainya, nanti lagi lama. Kita pilih yang terbaik. Lambat tidak apa, asal jadi molek," katanya pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke -15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas).

Dr Izani memberitahu, pembangunan KB Sentral kini dibahagikan kepada dua fasa iaitu kerja-kerja tanah bagi fasa pertama dan pembinaan fizikal terminal untuk fasa kedua.

Iklan

Ujarnya, kerja penambakan dan kerja-kerja tanah membabitkan kos RM14 juta, manakala fasa pembinaan terminal dirancang dimulakan selepas fasa berkenaan selesai.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kerajaan negeri turut sedang berusaha mencari kaedah pembiayaan dan pelaksanaan yang dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri.

Menurutnya, antara pendekatan yang sedang dipertimbangkan ialah kerjasama dengan syarikat melalui konsep Build-Operate-Transfer (BOT).

"Kita cuba cari kaedah-kaedah yang paling kita boleh menyelamatkan kewangan kerajaan negeri. Kalau akhirnya tidak ada juga, jawabnya duit kitalah," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga membuka ruang kepada kontraktor dan syarikat yang berminat untuk mengemukakan cadangan berkaitan kaedah pembinaan serta reka bentuk KB Sentral.

"Sekarang ini di peringkat kita kumpul. Kalau ada lagi kontraktor, tidak mahu mewah sangat, asal boleh masuk, kita nak tengok bagaimana dia bina, kita buka semua dah dengan kos ini.

"Soal-soal reka bentuk dan sebagainya, ia jadi fasa kedua," katanya.

Sementara itu, Dr Izani memberitahu, tempoh kerja-kerja tanah KB Sentral dijangka berakhir pada Mei 2027 dengan kemajuan ketika itu direkodkan sebanyak 40.7 peratus.

Sebelum ini, projek KB Sentral dilaporkan bernilai kira-kira RM64 juta dan disasarkan siap pada penghujung 2026, namun pertukaran pelaksana, pengambilalihan semula projek dan kerja rawatan serta penstabilan tanah menyebabkan sasaran penyelesaian berubah sehingga 2028.