SHAH ALAM - Seorang warga emas dan anak saudara lelakinya berusia lapan tahun maut, manakala dua lagi mangsa mengalami sesak nafas dalam kebakaran sebuah rumah kedai tiga tingkat di Jalan Batu Unjur 9, Taman Bayu Perdana, Klang, dekat sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kedua-dua mangsa lelaki berusia 66 tahun dan kanak-kanak berusia lapan tahun itu ditemukan dalam dua tandas berasingan di tingkat dua bangunan berkenaan selepas operasi pemadaman selesai pada 6.33 petang.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.51 petang.
"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), manakala dua lagi mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 10.15 malam untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.05 malam dengan penglibatan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan BBP Andalas. - Bernama