PUTRAJAYA - Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan diserahkan kepada pihak berkuasa bagi siasatan penuh berdasarkan semua dapatan dan maklumat yang dimaktubkan dalam laporan berkenaan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Pihak berkuasa berkenaan termasuklah Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak berkaitan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bank Negara Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Sebagai permulaan, kita akan serahkan kepada pihak berkuasa seperti yang Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah umumkan, sama ada pihak PDRM, SPRM, AMLA, Bank Negara, LHDN untuk melakukan siasatan penuh berdasarkan semua dapatan.
"Hal ini termasuk maklumat yang telah dimaktubkan dalam laporan dan maklumat tambahan yang telah dijawab oleh Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan semalam sewaktu perbahasan mengenai laporan RCI Tabung Haji,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di sini, hari ini.
Ditanya tentang gesaan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) agar kerajaan menubuhkan RCI baharu bagi tempoh 2021 hingga 2025, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, perkara itu melibatkan dua keputusan yang perlu dibuat.
"Pertama, pada peringkat Jemaah Menteri, sama ada untuk meneruskan ataupun mengembangkan kerana kita tahu apabila RCI diwujudkan pada 2021, bukan hanya Jemaah Menteri, tetapi kerana perkara ini ialah Suruhanjaya Siasatan Diraja, maka perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” kata Fahmi.
Laporan RCI TH didedahkan kepada umum pada 29 Julai, yang merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 serta mengemukakan 25 syor penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai tahun ini.
Dalam pada itu, Fahmi menyifatkan kehadiran ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada sidang khas Dewan Rakyat semalam bagi membahaskan laporan RCI TH sebagai satu tindakan yang bijak dan tepat.
Beliau berkata, sikap itu berbeza dengan parti pembangkang lain daripada Perikatan Nasional (PN) yang tidak hadir untuk membahaskan laporan berkenaan.
"Kita kena ingat RCI ini telah ditubuhkan pada 2021, ketika (ahli) Pas dan juga Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin) merupakan anggota Jemaah Menteri pada waktu itu.
"Tetapi, yang saya kesali mereka langsung tidak mahu hadir untuk membahas. Jadi, mereka terlepas peluang yang baik.
"Mungkin … saya pun tak pasti, mereka ada di situ ketika RCI dimulakan, RCI selesai kerja, tetapi mereka enggan hadir untuk membahas. Mereka lari daripada apa?” katanya.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam bagi membahaskan Laporan RCI dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Mesyuarat khas itu diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, yang membolehkan sidang diadakan ketika Dewan dalam tempoh tangguhan sekiranya melibatkan kepentingan awam yang mustahak. - Bernama
Fahmi, RCI, TH, tindakan, mesyuarat khas