TELUK INTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi nelayan membabitkan rampasan keseluruhan bernilai RM599,058 dalam serbuan di sebuah jeti perikanan di Hutan Melintang di sini pada Selasa.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) kira-kira jam 1.50 tengah hari itu dilakukan selepas pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis terbabit menerima bekalan diesel bersubsidi nelayan sebanyak 32,760 liter menggunakan sebuah lori tangki berkapasiti 52 tan.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat ketidakpatuhan serius terhadap dokumentasi penghantaran apabila alamat pada dokumen pesanan penghantaran (DO) tidak sepadan dengan alamat lesen sah CSA Runcit barang kawalan minyak diesel yang dimiliki premis berkenaan.
"Semakan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak juga mendapati lori tangki terbabit tidak tersenarai sebagai kenderaan yang dibenarkan mengangkut diesel bersubsidi nelayan ke Hilir Perak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kamalludin berkata, pemeriksaan turut menemukan bukti berlakunya penyelewengan rekod penjualan diesel kepada bot nelayan yang layak.
"Rekod jualan menunjukkan transaksi kepada sembilan bot namun pemeriksaan fizikal dan semakan mendapati hanya empat bot yang benar-benar membuat tuntutan serta mengambil minyak di jeti berkenaan pada tarikh tersebut.
"KPDN mengesyaki diesel berkenaan berkemungkinan dibawa keluar menggunakan kenderaan darat seperti lori atau dijual semula kepada bot yang tidak layak pada harga industri atau lebih tinggi bagi mengaut keuntungan daripada subsidi diesel nelayan," katanya.
Susulan itu, Kamalludin berkata, KPDN menyita 32,760 liter diesel, sebuah lori tangki 52 tan serta beberapa dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, dua individu iaitu pemilik premis dan pembekal turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM599,058, merangkumi diesel bernilai RM149,058 dan lori tangki bernilai RM450,000.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala badan korporat boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.