Anugerah MIHAS 2026 kembali iktiraf kecemerlangan industri halal

Iklan

KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) membuka penyertaan bagi Anugerah MIHAS 2026, yang kembali tahun ini bagi mengiktiraf kecemerlangan, inovasi dan kelestarian syarikat dalam industri halal global.

Iklan
Iklan

Anugerah berprestij ini memberi peluang kepada pempamer MIHAS 2026 bersaing untuk memperoleh antara pengiktirafan tertinggi dalam industri halal menerusi pencapaian cemerlang dalam pertumbuhan perniagaan, pembangunan produk dan perkhidmatan, inovasi, kelestarian serta transformasi digital.

Permohonan yang dibuka mulai Julai akan berlangsung sehingga 20 Ogos 2026.

Iklan

Pada edisi kali ini, sebanyak 15 anugerah akan disampaikan merentasi tiga kategori utama bagai mencerminkan komitmen MIHAS dalam mengiktiraf kecemerlangan syarikat yang memacu pembangunan ekosistem perniagaan halal.

Kategori tersebut merangkumi:

Iklan
  • Anugerah Kecemerlangan MIHAS, yang mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam kategori Kecemerlangan Produk, Kecemerlangan Perkhidmatan dan Bintang Baharu.
  • Anugerah Inovasi, Kelestarian dan Pendigitalan MIHAS, yang mengiktiraf syarikat memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), blockchain serta penyelesaian digital lain bagi memacu inovasi, kecemerlangan operasi dan pertumbuhan perniagaan mampan.
  • WiEX @MIHAS (Anugerah Wira Ekonomi Wanita), yang memberi pengiktirafan kepada syarikat diterajui wanita dalam kategori Produk, Perkhidmatan serta Inovasi, Kelestarian dan Pendigitalan.

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Anugerah MIHAS terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan piawaian industri selain mengiktiraf syarikat yang berfikiran jauh dalam membentuk masa depan perdagangan halal global.

Menurut beliau, anugerah tersebut menjadi lambang kecemerlangan industri halal dengan mengiktiraf perniagaan yang sentiasa meningkatkan prestasi melalui inovasi, daya tahan serta pertumbuhan lestari.

"Seiring perkembangan ekonomi halal yang kini melangkaui sektor tradisional, syarikat perlu mengutamakan inovasi, kelestarian dan pendigitalan bagi memastikan mereka terus relevan serta berdaya saing.

"Anugerah tahun ini turut memberi penekanan lebih besar kepada syarikat yang mengamalkan transformasi digital, kelestarian dan penggunaan teknologi baharu bagi mencipta nilai jangka panjang. Kami berharap lebih banyak syarikat akan terus berinovasi, bersaing di peringkat global serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi halal antarabangsa," katanya.

Anugerah MIHAS 2026 terbuka kepada semua pempamer MIHAS 2026 dari Malaysia dan luar negara.

Bagi syarikat Malaysia, penyertaan adalah tertakluk pada syarat berdaftar sebagai ahli MATRADE serta memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan, iaitu purata jualan tahunan melebihi RM500,000 bagi kategori produk dan RM250,000 bagi kategori perkhidmatan.

Bagi Anugerah Kecemerlangan MIHAS, syarikat perlu berpengalaman dalam menyertai MIHAS sekurang-kurangnya tiga kali, manakala calon bagi kategori Bintang Baharu perlu mempunyai sekurang-kurangnya satu penyertaan terdahulu.

Sementara itu, pemohon bagi kategori WiEX @MIHAS mestilah terdiri daripada pempamer yang mengambil bahagian di Pavilion WiEX.

Selepas tarikh tutup permohonan pada 10 Ogos 2026, semua penyertaan akan melalui proses penilaian menyeluruh yang bermula dengan pra-penilaian pada penghujung Ogos sebelum sesi pembentangan di hadapan panel hakim bebas pada awal September.

Pemenang akan diumumkan pada Majlis Anugerah MIHAS 2026 yang dijadual berlangsung pada 26 September 2026.

Selain menerima pengiktirafan industri, pemenang turut menikmati pelbagai manfaat promosi dan penjenamaan bagi meningkatkan keterlihatan di pasaran antarabangsa.

Antara manfaat yang ditawarkan ialah liputan dalam Portal Kisah Kejayaan MATRADE, penyenaraian percuma selama setahun dalam Direktori Jenama Malaysia, peluang temu bual media, diskaun 15 peratus bagi sewaan reruai MIHAS akan datang serta penerimaan jaket korporat eksklusif MIHAS Edisi Ke-22.

Sebagai pameran perdagangan halal antarabangsa terbesar di dunia, MIHAS terus menjadi platform penting dalam memacu pertumbuhan perniagaan, inovasi dan kerjasama rentas sempadan, sekali gus menghubungkan syarikat dengan peluang dalam rantaian nilai halal global.

MATRADE menggalakkan semua pempamer yang memenuhi syarat untuk merebut peluang ini supaya mereka memperoleh pengiktirafan antarabangsa serta mengetengahkan pencapaian mereka di salah satu platform perdagangan halal paling berpengaruh di dunia.