KOTA BHARU - Tahap keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah ketika ini jauh lebih baik dan meyakinkan kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, ia dilakukan melalui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dijalankan sejak hampir 13 tahun lalu yang melibatkan 10 daerah di kawasan Pantai Timur Sabah.
Ujarnya, lokasi itu diklasifikasikan sebagai kawasan keselamatan, dengan gabungan tiga agensi utama bagi memastikan keadaan keselamatan kembali aman.
"Keadaan di Pantai Timur Sabah jauh lebih baik dan lebih meyakinkan selepas 13 tahun peristiwa itu. Justeru, kita kena jalankan program jangkauan supaya negara-negara luar yakin dengan keadaan keselamatan di sana," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu beliau bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengadakan lawatan ke rumah balu Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim yang terkena renjatan elektrik iaitu Fatimah Syaera Zahrul Saharudin, 28, serta anak mereka, Hariz Idraqi, 2, di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini.
Menurut beliau, peristiwa berdarah kira-kira 13 tahun lalu itu bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat tempatan, malah turut menjejaskan potensi pelancongan di kawasan berkenaan yang merangkumi pulau, pantai, sungai dan hutan.
Katanya, pendekatan membawa duta dan perwakilan asing melawat kawasan Pantai Timur Sabah selama tiga hari dua malam bagi melihat keadaan keselamatan serta merasai sendiri pengalaman berada di kawasan berkenaan telah memberikan impak positif.
Saifuddin Nasution memberitahu, China merupakan antara penyumbang terbesar ketibaan pelancong ke Pantai Timur Sabah diikuti negara Eropah terutamanya Jerman dan United Kingdom, selain Amerika Syarikat.
Katanya, ketibaan pelancong ke kawasan tersebut melalui laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Kota Kinabalu ke Tawau dan penerbangan terus ke Tawau.