SHAH ALAM – Kerajaan Selangor disaran memastikan pembangunan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026-2030 tidak hanya tertumpu di kawasan bandar yang sudah maju, sebaliknya turut memberi limpahan ekonomi kepada kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kejayaan RS-2 tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, tetapi sejauh mana manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat di setiap daerah.
"Apabila Selangor menuju tahun 2030, adakah semua daerah bergerak bersama atau pembangunan akan terus tertumpu di kawasan yang sudah sedia maju?
"Saya hadir sebagai wakil rakyat Permatang, sebuah kawasan luar bandar di utara Selangor yang ekonominya masih bergantung kepada pertanian, perikanan dan perusahaan kecil,” katanya ketika membahaskan RS-2 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.
Menurutnya, cabaran Selangor bukan lagi sekadar meningkatkan saiz ekonomi negeri, sebaliknya memastikan pertumbuhan ekonomi tidak menyebabkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar semakin melebar.
Beliau berkata, lima sektor ekonomi strategik dikenal pasti dalam Misi Pertama RS-2 iaitu elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, automotif, ekonomi digital serta ekonomi kreatif sememangnya penting, namun pelan khusus untuk kawasan luar bandar perlu turut diberi perhatian.
"Persoalan saya, di manakah kedudukan Permatang dan kawasan luar bandar dalam lima bidang ekonomi ini?
"Adakah kita hanya akan menjadi pembekal tenaga kerja kepada kawasan bandar atau adakah kerajaan negeri mempunyai pelan jelas untuk membawa pelaburan dan peluang pekerjaan berkualiti ke kawasan luar bandar?," soal beliau.
Nurul Syazwani berkata, kekuatan kawasan utara Selangor tidak seharusnya diketepikan kerana kawasan itu mempunyai potensi besar dalam sektor agromakanan, perikanan, industri asas tani dan agro-pelancongan.
Beliau menjelaskan, sektor pertanian juga perlu dilihat sebagai industri moden yang mampu menggunakan teknologi seperti dron, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), automasi dan analitik data.
"Kalau E&E boleh mempunyai rantaian nilai lengkap, mengapa agromakanan tidak diberikan ekosistem yang sama?” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri mempermudah urusan pengusaha inap desa dan agro-stay di kawasan luar bandar supaya sektor itu dapat menjadi pemacu ekonomi masyarakat setempat.
"Jangan gunakan acuan bandar untuk mengawal ekonomi kampung. Rumah kampung yang mempunyai empat bilik tidak boleh disamakan dengan hotel bertingkat.
"Agro-stay tidak boleh dinilai menggunakan piawaian sama seperti pembangunan komersial di bandar," tegas beliau.
Nurul Syazwani memberitahu, pembangunan luar bandar yang lebih seimbang juga penting bagi mengelakkan penghijrahan anak muda ke bandar sekali gus menyebabkan kawasan kampung semakin kehilangan tenaga kerja dan berdepan masyarakat semakin menua.
"Kalau peluang ekonomi diwujudkan di luar bandar, anak muda akan kekal di kampung. Kalau anak muda kekal di kampung, ekonomi tempatan akan terus hidup,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu RS-2 memastikan setiap daerah diberikan peluang untuk membangun berdasarkan kekuatan dan keperluan masing-masing, bukannya menggunakan pendekatan pembangunan yang sama untuk semua kawasan.
"Permatang bukan Shah Alam kerana cabarannya tidak sama.
"Keadilan bukan bermaksud setiap daerah menerima pembangunan yang sama, tetapi setiap daerah diberikan peluang untuk membangun mengikut kekuatan masing-masing," tambah beliau.