Kelantan mahu jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai direalisasikan

Iklan
Dr Izani (tengah) ketika menjawab soalan di Sidang DUN Kelantan. Foto: Facebook Dr Izani

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mahu pembinaan jambatan sempadan antarabangsa yang menghubungkan Pengkalan Kubor, Tumpat dengan Tak Bai, Thailand diteruskan ke peringkat fizikal selepas kerja awalan projek berkenaan disempurnakan.

Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri komited memberikan kerjasama bagi memastikan projek itu dapat dipertimbangkan untuk pelaksanaan fizikal demi kepentingan rakyat serta pembangunan kawasan sempadan Kelantan-Thailand.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerja awalan pembinaan jalan dan jambatan baharu berkenaan diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos RM8 juta.

“Keseluruhan skop kerja awalan yang meliputi Kajian Impak Trafik, Penilaian Awal Impak Alam Sekitar, Penilaian Awal Impak Sosial, reka bentuk konsep, kerja ukur tanah, siasatan tapak serta reka bentuk awalan sudah disempurnakan sepenuhnya,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah Pas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Rabu.

Dr Izani berkata, Jabatan Kerja Raya kini berada di peringkat akhir menyediakan laporan akhir untuk dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya.

Iklan

Katanya, kerja awalan itu penting bagi menentukan lokasi sebenar jambatan baharu Malaysia-Thailand serta jajaran jalan sebelum kerja fizikal dilaksanakan.

“Kerajaan negeri berharap projek ini tidak terhenti setakat kerja awalan sahaja dan dapat dipertimbangkan untuk diteruskan ke peringkat pelaksanaan fizikal,” katanya.