KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM3.64 juta tahun ini bagi melaksanakan 10 projek pembangunan tanaman makanan sebagai usaha memperkukuh keterjaminan makanan negeri.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek melalui Jabatan Pertanian Negeri Kelantan itu meliputi pembangunan tanah terbiar, padi, pelbagai komoditi, sayur-sayuran, buah-buahan, kelapa, pembangunan usahawan, industri hiliran serta latihan dan pengembangan.
“Agenda keterjaminan makanan bukan sekadar meningkatkan pengeluaran, tetapi membangunkan keseluruhan rantaian industri agromakanan bermula daripada benih dan input, pengeluaran, penternakan dan perikanan, makanan ternakan, pemprosesan serta nilai tambah hingga pemasaran dan akses pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan (Pas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Rabu.
Menurut Tuan Mohd Saripudin, pengeluaran komersial turut diperkukuh melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) menerusi projek cili fertigasi, Melon Madu Kelantan dan sayuran hidroponik di Rong Chenok Agro Valley, Pasir Mas.
Katanya, Darul Naim Agro Management Industries pula mengusahakan 50 ekar jagung bijirin dan sembilan ekar ubi keledek yang mula mengeluarkan hasil secara berperingkat.
“Dalam sektor penternakan, lebih 380 penternak menerima manfaat program kerajaan negeri, manakala kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melibatkan projek pembangunan Wagyu Malaysia bernilai RM1.8 juta serta pengukuhan pengeluaran kambing tenusu bernilai RM1 juta.
“Bagi sektor perikanan dan akuakultur pula, Bantuan Pemerkasaan Industri Akuakultur berjumlah RM382,094 disalurkan kepada 122 penternak,” katanya.
Tuan Mohd Saripudin berkata, pengeluaran akuakultur Kelantan pada 2025 mencapai 7,901.74 tan metrik bernilai RM76.2 juta, dengan sasaran 8,000 tan metrik tahun ini.
Katanya, kerajaan negeri turut memperkukuh pemprosesan dan industri hiliran dengan peruntukan RM300,000 bagi pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berasaskan pertanian serta aktiviti hiliran.
Dalam aspek pemasaran, katanya, sehingga Jun 2026, sebanyak 74 infrastruktur dan 99 outlet pemasaran disediakan dengan penglibatan 1,560 usahawan.
“RTC Kelantan sebagai hab pemasaran dan pengedaran agromakanan memberi ruang perniagaan kepada kira-kira 800 usahawan serta merekodkan nilai jualan terkumpul RM4.16 bilion bagi tempoh 2012 hingga 2025,” katanya.