Perkasakan MBI, keluarkan aset Selangor daripada 'value trap' - Hilman

Iklan
Hilman ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (2026–2030) di Dewan Undangan Negeri Selangor pada Selasa.

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor digesa memperkasakan Menteri Besar Incorporated (MBI) sebagai syarikat pegangan pelaburan strategik dengan mandat pelaburan yang jelas bagi memastikan aset negeri tidak terus terperangkap dalam 'value trap'.

Dalam perbahasan Rancangan Selangor Kedua (2026–2030) di Dewan Undangan Negeri Selangor, Muhammad Hilman Idham menegaskan bahawa Selangor bukan berdepan kekurangan aset, sebaliknya menghadapi cabaran dalam memastikan aset dan syarikat milik kerajaan negeri diurus secara berkesan untuk menjana pulangan yang optimum.

Iklan
Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu menjadikan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) sebagai contoh dengan berkata, nilai aset bersih sesaham syarikat itu pada akhir tahun 2025 dilaporkan sebanyak RM2.02, namun harga sahamnya pada 7 Ogos lalu hanya sekitar RM0.54.

“Selangor mungkin mempunyai aset bernilai berbilion ringgit, tetapi aset yang tidak menghasilkan pulangan optimum hanyalah modal yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya, dan keadaan itu membawa kos kepada rakyat.

Iklan

“Tanggungjawab kerajaan bukan sekadar memiliki kekayaan bagi pihak rakyat, tetapi memastikan kekayaan itu berkembang dan memberikan manfaat yang lebih besar,” katanya.

Menurut beliau, MBI tidak seharusnya hanya berperanan sebagai pemegang kepentingan dalam syarikat milik kerajaan negeri, sebaliknya perlu berfungsi sebagai syarikat pelaburan strategik yang aktif mengurus portfolio pelaburan, meningkatkan nilai aset serta mencipta kekayaan baharu.

Iklan

Muhammad Hilman turut menegaskan bahawa setiap anak syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri perlu dinilai berdasarkan pulangan kepada modal rakyat, aliran tunai, pembayaran dividen kepada kerajaan, peningkatan nilai aset serta impak ekonomi yang dihasilkan, termasuk peluang pekerjaan dan pelaburan baharu.

“Selangor perlu berhenti menjadi negeri yang kaya dengan aset tetapi miskin dari segi pulangan. Kita perlu beralih daripada sekadar memiliki aset kepada mencipta nilai.

“MBI mesti menjadi instrumen strategik untuk mengeluarkan aset Selangor daripada belenggu value trap dan memastikan kekayaan negeri diterjemahkan kepada kemakmuran rakyat,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau turut menyorot perbezaan dua falsafah dalam pengurusan kekayaan negeri dengan menjadikan Sarawak sebagai contoh.

Menurut beliau, Sarawak melihat anak syarikat dan GLC sebagai instrumen untuk menjana kekayaan baharu, berbanding hanya mengekalkan kekayaan melalui aset sedia ada.