Tempoh sah laku pasport Malaysia diseragamkan maksimum 10 tahun

Iklan
Gambar kecil: Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban

PUTRAJAYA - Penyeragaman tempoh sah laku Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) kepada maksimum 10 tahun dilaksanakan serta-merta bagi mengelakkan kekeliruan ketika rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, keputusan itu dibuat susulan beberapa pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun menghadapi masalah ketika melakukan pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.

Iklan
Iklan

“JIM telah merujuk perkara ini kepada pihak International Civil Aviation Organization (ICAO) dan maklum balas yang diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh PMA melebihi 10 tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zakaria berkata, walau bagaimanapun, kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahun menghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.

Iklan

"Bagi menangani kekeliruan berkenaan, JIM menetapkan tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah 10 tahun sahaja," katanya.

Katanya, penetapan itu bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA selain mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan.

Iklan

“Berkuat kuasa serta-merta, tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan dihentikan sehingga isu ini diselesaikan dengan pihak syarikat penerbangan dan ICAO,” katanya.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.

Beliau berkata, pemegang PMA yang terlibat juga akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport.

“Jabatan akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas di luar negara,” katanya.

Tambahnya, JIM komited memastikan pelaksanaan PMA sentiasa ditambah baik bagi memberikan kemudahan kepada rakyat serta memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.