12 ditahan kes YouTuber Taiwan disamun individu menyamar polis

Iklan
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR - Seramai 12 individu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes samun berkumpulan dan menyamar sebagai anggota polis di sebuah kediaman di Cheras, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan pada 1 Ogos lalu daripada seorang lelaki warga Jepun yang memaklumkan majikannya, seorang YouTuber warga Taiwan berusia 38 tahun dipukul dan disamun.

Iklan
Iklan

"Mangsa cedera dan kerugian dianggarkan lebih RM35,000.

"Siasatan mendapati motif kejadian dipercayai kerana suspek mengetahui mangsa mempunyai simpanan wang tunai dalam mata wang asing yang bernilai tinggi, sekali gus menjadi pencetus kepada jenayah berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Fadil berkata, susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur melancarkan operasi khas dan menahan 12 individu di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

"Tangkapan pertama pada 2 Ogos lalu dan tangkapan lain adalah secara berperingkat bagi membantu siasatan kes ini.

Iklan

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia antara 26 hingga 48 tahun," katanya.

Beliau berkata, daripada 12 suspek yang ditahan, tujuh dibebaskan dengan jaminan polis pada 7 Ogos lalu selepas keterangan mereka diambil.

"Lima lagi direman hingga esok (Khamis) bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.

"Polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan dan dibawa ke muka pengadilan," katanya.