Rakyat bayar gaji, ahli Parlimen berbahas di Dewan Rakyat

Iklan
Sebahagian ahli Parlimen pembangkang dilihat keluar meninggalkan Dewan Rakyat pada Selasa dan tidak akan mengambil bahagian dalam sesi penerangan Menteri berkenaan RCI melibatkan isu pengurusan dan operasi TH. - Foto Bernama

TINDAKAN sebahagian ahli Parlimen pembangkang yang keluar Dewan (walkout) ketika sesi perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) mencetuskan reaksi pelbagai pihak.

Isu TH yang melibatkan simpanan jutaan pendeposit merupakan perkara sensitif yang sentiasa menjadi tumpuan rakyat.

Iklan
Iklan

Tindakan memboikot perbahasan tersebut membawa pelbagai impak, sama ada positif mahupun negatif, terhadap landskap politik tanah air dan persepsi awam.

Keputusan keluar Dewan menyebabkan pembangkang kehilangan peluang keemasan untuk menyemak, mencabar dan menyanggah dapatan laporan RCI secara rasmi.

Iklan

Isu salah urus dan pelaburan bernilai bilion ringgit sepatutnya dibongkar menerusi hujah serta fakta di dalam Parlimen.

Apatah lagi TH yang menguruskan simpanan melebihi 10 juta pendeposit yang kebanyakannya terdiri daripada golongan marhaen.

Iklan

Apabila perbahasan diboikot, suara dan pandangan rakyat yang diwakili oleh ahli Parlimen gagal disampaikan.

Tindakan itu memberi gambaran bahawa sebahagian pembangkang lebih mengutamakan perselisihan politik berbanding kepentingan isu Melayu-Islam.

Ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat telah dijadikan alasan untuk tidak menjalankan tugas perbahasan.

Rakyat membayar gaji dan elaun ahli Parlimen untuk bekerja serta berbahas di Dewan Rakyat dan tindakan meninggalkan sesi penting itu boleh menghakis kepercayaan pengundi terhadap kewibawaan wakil rakyat yang dipelihara.

 

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.

Keputusan 'walkout' tidak disokong secara sebulat suara apabila ada pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Bersatu memilih untuk kekal, sekali gus menyerlahkan perbezaan pendirian dan kelemahan kesatuan dalam blok pembangkang.

Tindakan pembangkang dijadikan platform untuk menghantar mesej tegas mengenai kebertanggungjawaban Perdana Menteri dalam persidangan utama, ia memperlihatkan tuntutan pembangkang agar eksekutif tertinggi sentiasa hadir menjawab isu kritikal.

Sikap kekal berada di dalam Dewan Rakyat sebagaimana dilakukan oleh Ahli Parlimen Muar itu menunjukkan wujudnya gaya kepimpinan matang dan berteraskan fakta yang mana ia memberi nilai tambah kepada persepsi awam terhadap Syed Saddiq - sentiasa mengutamakan dan menghormati mandat rakyat.

Perbahasan yang diteruskan oleh sebahagian ahli Parlimen membolehkan cadangan konkrit dikemukakan seperti penubuhan pasukan khas, audit forensik dan pembaharuan akta.

Cadangan tersebut memberikan solusi yang konstruktif bagi pengurusan masa depan TH.

Bantahan dan kontroversi yang timbul menarik perhatian media serta masyarakat umum. Situasi berkenaan secara tidak langsung mendorong rakyat untuk lebih mengambil tahu mengenai isu ketelusan pengurusan kewangan TH.

Secara keseluruhannya, tindakan boikot itu membawa lebih banyak implikasi negatif terhadap imej pembangkang dalam menjalankan fungsi semak dan imbang di Parlimen.

Walaupun isu berkenaan dijadikan saluran meluahkan rasa tidak puas hati, keutamaan wajar diberikan kepada usaha mempertahankan amanah jutaan pendeposit TH menerusi perbahasan yang profesional.