KUALA KRAI - Dua pelajar Tingkatan Dua dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi bersama tiga lagi rakan di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri di sini pada Selasa.
Dua remaja berkenaan dikenali sebagai Mohd Rayyan Hakimi dan Luth Naiman Mohd Noraziron masing-masing berusia 14 tahun.
Menurut penduduk, Muhammad Bukhari Mohd Zawawi, 38, sekitar jam 6.30 petang bapa sepupunya, Zaidin Musa, 49, membuat panggilan telefon kepadanya meminta untuk menghubungi pihak bomba.
"Ketika itu bapa sepupu saya sedang mengail udang di sungai berkenaan kemudian katanya ada tiga remaja meminta tolong dan memaklumkan dua rakan mereka lemas.
"Menurut bapa sepupu semasa kejadian hujan lebat. Saya pun tanpa berlengah terus menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan," katanya ketika dihubungi.
Menurut dia, kawasan tersebut sering dikunjungi penduduk untuk mandi manda kerana mempunyai daratan pasir yang luas.
Bagaimanapun katanya, kawasan berkenaan juga sering berlakunya kejadian lemas dan kali terakhir dilaporkan pada beberapa tahun lalu.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Aiman Aminuddin memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.39 petang.
"Setibanya di lokasi, cuaca hujan lebat dan pandangan menjadi terhad.
"Kami melakukan carian di permukaan sungai, bagaimanapun operasi ditangguhkan kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan dan disambung esok," katanya.
Menurut beliau, seramai tujuh anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat berkenaan.