Amaran susulan 46 kemalangan, JPJ jumpa penganjur RXZ Members

Iklan
Muhammad Kifli (kiri) ditemui pemberita di Pejabat JPJ Kuala Lumpur selepas sidang akhbar Op Extreme pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan sesi libat urus bersama penganjur RXZ Members bagi menambah baik penganjuran program himpunan motosikal itu pada masa akan datang.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sesi libat urus kali pertama itu bertujuan mendengar pandangan pihak penganjur.

Iklan
Iklan

"Kita juga mencadangkan beberapa penambahbaikan program (RXZ Members).

"Kami bukan hendak menyekat acara itu, apa penting adalah keselamatan jalan raya bukan sahaja kepada peserta tetapi kepada pengguna jalan raya lain," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ Kuala Lumpur pada Selasa.

Iklan

Muhammad Kifli berkata, sesi libat urus akan diadakan di Ibu Pejabat JPJ Putrajaya pada Rabu.

Pada 2 Ogos lalu, media melaporkan JPJ akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap peserta program himpunan motosikal termasuk mengadakan sesi libat urus dengan penganjur susulan kemalangan sering dikaitkan dengan acara itu.

Iklan

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya tidak menghalang penganjuran program permotoran, namun semua peserta diwajibkan mematuhi undang-undang jalan raya dan peraturan teknikal kenderaan.

Selain itu, sebanyak 46 kes kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal direkodkan dalam tempoh empat hari bermula 30 Julai hingga 2 Ogos sepanjang penganjuran program RXZ Members 8.0.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, daripada jumlah itu, 11 kes atau 24 peratus adalah kemalangan maut, lima kes (11 peratus) kemalangan parah dan 30 kes (65 peratus) kemalangan ringan.