KUALA LUMPUR - Demi mengejar kepuasan berlumba dan menunjuk-nunjuk, ada penunggang yang sanggup berhabis sehingga RM25,000 untuk mengubah suai motosikal secara ekstrem.
Kegiatan itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Op Ekstrem yang digerakkan selama dua hari di ibu negara bermula Sabtu.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebanyak 443 motosikal telah diperiksa dengan 376 motosikal diambil tindakan.
Menurutnya, JPJ turut mengeluarkan 1,093 notis merangkumi 953 Notis JPJ (P)22 dan 140 Notis 64, manakala 140 motosikal antaranya jenis Yamaha Y16ZR, Yamaha Y15ZR dan Yamaha 125Z disita untuk tindakan lanjut.
"Operasi berkenaan merekodkan 457 kesalahan teknikal antaranya pengubahsuaian tanpa kelulusan melibatkan sistem brek dan tayar, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta kesalahan berkaitan lesen memandu.
Beliau berkata, semasa pelaksanaan operasi itu, ada antara kumpulan penunggang motosikal terbabit dikesan sedang berlumba.
Jelasnya, apabila menyedari kehadiran pasukan operasi JPJ, ada segelintir penunggang yang cuba bertindak melarikan diri.
"Kita percaya penunggang-penunggang terbabit ada kumpulan masing-masing dan buat masa ini kita tidak akan dedahkannya lagi," ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Kifli memaklumkan, Op Ekstrem di seluruh negara bermula Januari hingga 10 Ogos lalu, JPJ telah melaksanakan 441 operasi melibatkan pemeriksaan terhadap 68,528 motosikal.
Tambahnya, daripada jumlah itu, 18,534 motosikal telah diambil tindakan, 30,846 Notis JPJ (P)22 dikeluarkan dan 1,942 motosikal disita.
"Alasan popular yang sering diberikan penunggang ialah mahu tingkat kelajuan. Kebanyakan mereka yang terlibat di kalangan anak muda berusia 15 hingga 25 tahun.
"Rata-rata kos ubah suai ekstrem sebuah motosikal termasuklah menggunakan ekzos 'senapang' atau paip, menanggalkan brek belakang, penggunaan tayar sotong atau basikal, tukar ECU (unit kawalan elektronik) dan pengubahsuaian enjin tanpa kebenaran sekitar RM5,000 hingga RM25,00," ujarnya.
Kata beliau, pengubahsuaian kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi bukan sahaja merupakan suatu kesalahan, malah boleh meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya serta mengganggu ketenteraman masyarakat.
"Tiada mana-mana individu terkecuali daripada tindakan undang-undang, tanpa mengira latar belakang atau pekerjaan," ujarnya.