SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu memberikan penjelasan berhubung kenyataannya bahawa Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Bersatu atau Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Ramkarpal Singh berkata, pendirian itu perlu diperjelaskan terutama sama ada perkara berkenaan telah dibincangkan dan diputuskan di peringkat Majlis Presiden PH.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, perkara itu serius kerana ia membabitkan hala tuju PH dan potensi rakan gabungan pada masa hadapan, sekali gus wajar dibincangkan secara menyeluruh oleh semua parti komponen sebelum sebarang pengumuman dibuat.
"Setakat ini, saya tidak mengetahui mengenai pendirian sedemikian dan mengesahkan perkara itu belum dibincangkan mana-mana peringkat DAP.
Sebelum ini, media melaporkan Amirudin memaklumkan PH sentiasa terbuka dalam menjalinkan kerjasama atau sebarang persefahaman dengan parti atau gabungan politik termasuk PN atau Bersatu.
Bagaimanapun, Naib Presiden PKR terbabit menegaskan kerjasama itu mestilah berasaskan dan menerima pakai prinsip 'kestabilan politik dan kepentingan rakyat'.
Dalam pada itu, Ramkarpal berkata, dakwaan tidak berasas Pas terhadap DAP yang didakwa anti-Islam menjadi antara sebab, pada pandangannya, kerjasama antara kedua-dua parti tidak boleh berlaku pada masa ini.
Beliau menambah, dalam keadaan itu, perkara terbabit perlu diperjelaskan dengan segera bagi mengelakkan sebarang kekeliruan mungkin timbul.