SHAH ALAM - Bateri kenderaan elektrik (EV) dan panel solar tamat hayat tidak boleh dibuang bersama sisa pepejal biasa kerana kedua-duanya dikategorikan sebagai buangan terjadual yang memerlukan pengurusan khas.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, peningkatan penggunaan EV dan pemasangan panel solar dijangka menyebabkan pertambahan sisa itu pada masa hadapan sekali gus memerlukan persediaan awal bagi memastikan ia tidak menjejaskan alam sekitar.
Menurut beliau, Selangor yang menjadi hab pengilangan, automotif termasuk EV dan teknologi utama di Malaysia sudah mengambil langkah persediaan dari aspek kawal selia, pelesenan, pemerolehan kembali dan pematuhan perundangan.
"Panel solar tamat hayat dan bateri EV diklasifikasikan sebagai buangan terjadual di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
"Panel solar dikategorikan di bawah kod SW110, manakala bateri EV pula SW103 dan pengurusan sisa ini tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Jefri Mejan (PN-Ijok) mengenai persediaan kerajaan negeri menghadapi lambakan bateri EV dan panel solar tamat hayat khususnya dari aspek pengumpulan, kitar semula, pelupusan serta pengurusan sisa berbahaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Selasa.
Jamaliah berkata, pemilik atau pengeluar sisa perlu menghantar bateri EV dan panel solar tamat hayat ke premis pemerolehan kembali yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, bateri EV akan melalui proses pengumpulan, pengasingan dan nyahcas sebelum bahan bernilai seperti litium, kobalt dan nikel diekstrak untuk diproses semula menggunakan teknologi yang diluluskan.
"Ketika ini, Selangor mempunyai dua kemudahan pemerolehan kembali luar tapak bagi kod SW103 untuk mengolah dan mengitar semula bateri EV.
"Bagi kod SW110 pula, terdapat 11 kemudahan pemerolehan kembali penuh dan 21 kemudahan pemerolehan kembali separa yang dilesenkan JAS," tambah beliau
Jamaliah berkata, pembangunan premis baharu bagi menjalankan aktiviti pemerolehan kembali bateri EV dan panel solar turut tertakluk kepada penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA) sebelum kelulusan diberikan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan hanya premis yang memenuhi keperluan alam sekitar dibenarkan beroperasi dan mengelakkan aktiviti pemerolehan kembali menyebabkan pencemaran serta risiko kepada kesihatan awam.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sedang merangka garis panduan khusus bagi pengurusan sisa panel solar dan bateri EV.
"Kerajaan negeri juga merancang memperluaskan rangkaian pusat pengumpulan e-waste yang mudah diakses di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk melalui program komuniti, pusat kitar semula sedia ada dan inisiatif seperti SELKitar.
"Selain itu, Pelan Hala Tuju Ekonomi Hijau Negeri Selangor (SAGE) Jilid 2: Ekonomi Kitaran akan merangkumi pengurusan sisa tenaga boleh baharu termasuk pengumpulan semula, kitar semula dan pelupusan selamat panel solar, bateri, inverter serta komponen berkaitan," tambah beliau.