Skrin digital jadi ‘racun senyap’ kepada anak - Dr Rajen

Iklan
Dr Rajen (gambar kecil) berkata, ramai ibu bapa mengambil jalan mudah dengan memberikan gajet untuk membuatkan anak senyap namun akibatnya mereka menjadi ketagih dan merana. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Pendedahan berlebihan kepada skrin digital disifatkan sebagai ‘racun senyap’ yang dibimbangi boleh menjejaskan kualiti tidur, penglihatan dan perkembangan minda kanak-kanak.

Pengarah Holista Biotech Sdn Bhd, Datuk Dr Rajen Manicka berkata, penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet dan televisyen dalam tempoh terlalu lama tidak seharusnya dipandang ringan terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kanak-kanak kini secara purata menghabiskan kira-kira empat jam sehari menghadap skrin pada hari persekolahan, manakala tempohnya boleh meningkat sehingga enam jam pada hujung minggu.

Beliau berkata, pendedahan berlebihan kepada skrin digital terutama pada waktu malam boleh mengganggu kualiti tidur kanak-kanak.

Iklan

“Apabila kanak-kanak kerap menatap skrin terutamanya pada waktu malam, tidur mereka tidak akan nyenyak dan sering diserang mimpi ngeri. Kesannya, proses pembaikan dan pembinaan otak mereka terganggu.

“Ramai ibu bapa ambil jalan mudah bagi gajet sebab nak bagi anak senyap. Akibatnya anak-anak ketagih dan merana,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar kempen ‘Screen-Free Futures: Protecting Malaysia’s Children’ anjuran Holista Biotech Sdn Bhd di sini pada Jumaat.

Dr Rajen (lima dari kiri) ketika pelancaran kempen ‘Screen-Free Futures: Protecting Malaysia’s Children’ anjuran Holista Biotech Sdn Bhd pada Jumaat.

Turut hadir, Penasihat dan Rakan Kongsi Kempen Kebangsaan Bebas Skrin, Tan Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah; Pengerusi Holista, Lai Kwok Kin; Ketua Pegawai Eksekutif Holista, Leong Man Loong; Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Sivanaesan Letchumanan dan Presiden Persatuan Kesihatan Integratif Malaysia, Prof Dr Selvam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Halagel M Sdn Bhd, Ahmad Mokhzani Ahmad Rodzi; Pengarah Urusan Zuellig Pharma (Malaysia, Singapura dan Brunei), Louis-Georges Lassonnery; Pengarah Dagangan Watsons Malaysia, Hwei Jiek; Ketua Bahagian Kesihatan Watsons Malaysia, KC Liew; Pengurus Pusat Avenue K Shopping Mall, Rachel Er serta Pengetua Tadika Graceful Hand, Paggie Yan.

Mengulas lanjut, Dr Rajen berkata, pancaran cahaya biru (blue light) daripada peranti digital turut berisiko menjejaskan penglihatan selain mengganggu sistem tidur.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan masalah rabun jauh (myopia), katarak dan glaukoma pada usia muda yang menurutnya mempunyai kaitan dengan pendedahan berlebihan kepada cahaya biru.

“Jika dulu era 60-an hanya seorang dua budak pakai cermin mata, kini di darjah satu sahaja satu per tiga murid sudah berkuasa mata tinggi.

“Panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) jelas menetapkan kanak-kanak bawah dua tahun langsung tidak boleh diberi gajet, manakala umur dua hingga lima tahun pula dihadkan maksimum satu jam sehari.

“Ibu bapa perlu bertegas di rumah, hadkan gajet dan bawa anak-anak keluar berinteraksi, bermain di padang serta makan bersama tanpa membiarkan mereka menatap skrin,” katanya.