Kedah catat 9.2 juta pelancong pada TMK2025, raih tujuh anugerah pelancongan

Iklan
Salleh (tengah) bersama para penerima anugerah Tourism Industry Awards 2026 anjuran Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA).

ALOR SETAR- Kedah merekodkan kehadiran 9.2 juta pelancong domestik dan antarabangsa sepanjang 2025, sekali gus melepasi sasaran tujuh juta pelancong yang ditetapkan menerusi Program Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025).

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Salleh Saidin berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 7.1 juta merupakan pelancong domestik, manakala 2.1 juta lagi pelancong antarabangsa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pencapaian berkenaan berjaya melepasai sasaran tujuh juta pelancong yang ditetapkan pada TMK2025.

“Selepas tahun 2025 berakhir, kita tahu kita berjaya mencapai sasaran itu namun kita mahu tunggu angka dan data rasmi. Akhirnya selepas mendapat data rasmi, Alhamdulilah, kita mencapai jumlah kehadiran yang lebih daripada yang disasarkan,” katanya yang ditemui di Wisma Darul Aman, di sini.

Iklan

Dalam pada itu, Salleh berkata, kejayaan sektor pelancongan Kedah turut terserlah menerusi tujuh anugerah yang diraih pada Tourism Industry Awards 2026 anjuran Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA).

Beliau berkata, majlis berkenaan berlangsung di Bandar Sunway, Selangor baru-baru ini dan menyaksikan Kedah menerima pengiktirafan dalam pelbagai kategori.

Iklan

Antaranya ialah Best Gastronomy Location yang dimenangi Kopi Waktu, Ulu Sedaka, Yan; Best Iftar Experience oleh Kedah Tourism serta Best Tourism Cooperative Initiative yang diterima Koperasi Kemajuan Pelancongan Kedah bersama JETASIA.

Tiga lagi anugerah ialah Best Island Tourism Destination kepada Langkawi Development Authority (LADA), Best Family Vacation Destination kepada Langkawi SkyCab dan Best Travel Agency kepada Cuti-Cuti Langkawi Sdn Bhd.

Tropical Charters Sdn Bhd pula menerima pengiktirafan Best Innovation Tourism Apps.

Salleh berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen pemain industri pelancongan di Kedah dalam menyediakan pengalaman terbaik kepada pelawat selain membantu mengangkat nama negeri berkenaan di peringkat nasional dan antarabangsa.