Lombong emas haram: Kerajaan Kelantan teliti kesalahan berulang, hukuman lebih tegas

Iklan
Mohamed Fadzli

KOTA BHARU - Hukuman lebih tegas terhadap kesalahan berulang kegiatan lombong emas haram kini dipertimbangkan Kerajaan Kelantan dalam usaha membanteras aktiviti berkenaan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan bukan sahaja akan memperketatkan aspek penguatkuasaan, malah sedang menimbang untuk meneliti semula hukuman terutama membabitkan kesalahan yang dilakukan secara berulang.

Iklan
Iklan

"Saya sendiri telah pun berbincang dengan pihak berkuasa, Ketua Polis Daerah dan sebagainya. Kita bukan sahaja memperketatkan dari sudut penguatkuasaan, serta sedang menimbang untuk melihat kembali hukuman.

"Terutamanya kepada kesalahan-kesalahan yang berulang," katanya pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke -15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas).

Mohamed Fadzli memberitahu, berdasarkan rekod bagi tahun 2025 sehingga Jun 2026, sebanyak 77 operasi penguatkuasaan telah berjaya dijalankan.

Iklan

Ujarnya, rentetan daripada operasi tersebut, tindakan perundangan yang tegas telah diambil di mana sebanyak 63 Kertas Siasatan (IP) dibuka dan diserahkan kepada Unit Pendakwaan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan untuk tindakan mahkamah selanjutnya.

Tambah beliau, bagi melumpuhkan keupayaan logistik dan menyekat kegiatan haram ini daripada terus beroperasi di lapangan, pihak berkuasa telah menyita aset penceroboh dengan merampas sebanyak 65 buah jentera jengkaut yang dianggarkan bernilai RM15.8 juta secara keseluruhan sepanjang tempoh tersebut.

"Untuk makluman fokus operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan haram ini kebiasaannya dikesan dan dilaksanakan di kawasan hotspot yang melibatkan Jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, dan Tanah Merah.

"Pihak kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dan akan terus memperkasakan kawalan bagi memastikan khazanah hasil bumi negeri sentiasa terpelihara.

"Langkah tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti terbabit dalam kegiatan berkenaan sekiranya kesalahan mereka dapat dibuktikan," katanya.

Kata beliau lagi, pihak berkuasa kini sedang mengenal pasti pihak terbabit termasuk mereka yang mungkin mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.

"Untuk jawapan hari ini, saya tak boleh nak bagi nama dan sebagainya sebab masih lagi dalam siasatan.

"Tetapi, sekiranya Yang Berhormat ada maklumat tertentu, kita sangat-sangat suka untuk menerima maklumat-maklumat tersebut," katanya.

Mohamed Fadzli turut mengingatkan bahawa sebarang tindakan terhadap individu yang disyaki terbabit perlu berlandaskan prinsip undang-undang, iaitu seseorang tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.

"Kita, sebagaimana prinsip undang-undang. Seseorang itu tidak akan didapati bersalah sehingga ianya dibuktikan bersalah dalam mahkamah," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada hasil emas turut dirampas dalam operasi tersebut, beliau memberitahu pihak yang menjalankan kegiatan itu dipercayai mempunyai cara tersendiri untuk menyembunyikan hasil yang diperoleh.

"Dia kadang-kadang benda ini bijak. Pencuri ini memang profesional dalam kerja mencuri. Dia tahu bagaimana nak menjaga hasil yang dia dapat," katanya.

Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan masih boleh membuat anggaran berdasarkan maklumat mengenai pemilikan lot tanah serta kerosakan yang berlaku akibat aktiviti perlombongan.

"Kita tahu lot tanah itu milik siapa dan kita boleh membuat anggaran daripada kerja-kerja, kerosakan yang telah dibuat," katanya.