KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menawarkan ganjaran RM5,000 bagi maklumat yang boleh membawa kepada penahanan individu yang bertanggungjawab dalam serangan terhadap seorang wanita di Taman Pusat Kepong, Ahad lalu.
Dalam hantaran di Facebook pada Isnin, Lip Eng berkata, beliau kesal dan marah dengan serangan berkenaan yang menyebabkan seorang wanita cedera parah selepas dibakar.
Beliau berkata, mangsa disimbah bahan api sebelum dibakar dalam kejadian yang berlaku di kawasan Taman Pusat Kepong.
"Individu bertanggungjawab mesti ditemui, ditangkap dan berdepan tindakan undang-undang sepenuhnya," katanya di laman sosial media miliknya itu.
Lip Eng turut meminta sesiapa yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Amri Firdaus Jusoh di 010-9198209, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03-40482222 atau balai polis berhampiran.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mendekati atau berdepan sendiri dengan individu terbabit.
Sementara itu, anak mangsa, Joyce Yap, memohon bantuan pemilik kedai, premis perniagaan dan penduduk sekitar Taman Pusat Kepong berhampiran kawasan Sport Toto untuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta saksi kejadian.
Menurutnya, ibunya mengalami kecederaan melecur serius pada 9 Ogos 2026 (Ahad), antara kira-kira jam 7 hingga 8 pagi di sekitar Taman Pusat Kepong berhampiran Sport Toto.
Katanya, keluarga sudah mengenal pasti seorang individu yang mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian berdasarkan rakaman CCTV dan kini memerlukan rakaman tambahan bagi membantu siasatan polis.
Individu dalam rakaman CCTV itu dilaporkan memakai baju berwarna biru muda dan seluar hitam.