Johor catat impak positif projek penaiktarafan, pelancong meningkat ketara

Iklan
Pembukaan Night Zoo Johor memberi impak positif kepada pelancongan Johor - Gambar kecil (Mohd Jafni)

JOHOR BAHRU – Pelaksanaan dan pemantauan berterusan bagi projek-projek pembangunan serta penaiktarafan di Johor terus menunjukkan perkembangan positif apabila 33 daripada 69 projek melibatkan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan SUK Bahagian Kerajaan Tempatan telah mencapai tahap kemajuan 47.9 peratus.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sebanyak 25 projek atau 36.2 peratus sedang dilaksanakan, manakala 11 projek lagi atau 15.9 peratus masih dalam proses kelulusan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi itu dapat dilihat melalui peningkatan jumlah pengunjung ke beberapa lokasi pelancongan utama di negeri ini.

“Ini dibuktikan menerusi Night Zoo Johor yang merekodkan kehadiran 368,784 pelancong dengan hasil diterima berjumlah RM3.3 juta sejak dibuka pada 27 Mac lalu.

Iklan

“Kehadiran pengunjung yang cukup baik juga direkodkan di Hutan Bandar Johor Bahru yang mencatatkan 112,479 orang, Taman Merdeka (34,535) dan Taman Teluk Danga (290,408) sehingga 31 Julai,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, peningkatan jumlah pengunjung itu didorong oleh usaha penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan awam yang dilaksanakan secara berterusan.

Iklan

Tambahnya, kawasan pelancongan Eco Tourism Kampung Sungai Melayu turut mencatat prestasi memberangsangkan apabila menerima 15,188 pengunjung dengan hasil hampir RM669,000 sehingga 31 Julai.

“Jumlah kehadiran pelancong ini meningkat 143.01 peratus manakala hasilnya turut meningkat 219.68 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Mohd Jafni berkata, pencapaian tersebut merupakan antara hasil 12 projek utama berimpak tinggi yang sedang dinaik taraf di Johor dan membuktikan peranan kerajaan tempatan bukan sahaja dalam pengurusan bandar, malah menyediakan persekitaran yang selesa, selamat serta berkualiti untuk rakyat.

Justeru, beliau berkata, usaha penaiktarafan akan terus dipergiat kerana bukan sahaja meningkatkan keindahan kawasan, malah merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

“Beberapa projek lain kini memasuki fasa akhir antaranya Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan dan projek penyelesaian banjir Kampung Mohd Amin yang dijangka siap pada penghujung bulan depan.

“Sistem perparitan Jalan Dato Sulaiman pula dijangka siap pada 14 Ogos. Sementara itu, Santuari Buaya Tanjung Langsat yang kini mencapai 70 peratus kemajuan disasarkan siap pada 19 September, manakala Pusat Rekreasi Sungai Lebam di Pengerang yang mencapai 75 peratus siap dijangka selesai pada 30 September,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya tempoh berbaki dimanfaatkan sepenuhnya melalui pemantauan yang lebih kerap bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada rakyat.