KISAH seorang guru yang berdepan keletihan akibat tuntutan tugas dan tanggungjawab di sekolah sewajarnya membuka ruang untuk kita melihat semula satu persoalan penting.
Ia melibatkan sejauh mana kebajikan guru diberi perhatian dalam usaha memastikan kecemerlangan pendidikan terus dicapai?
Tugas guru hari ini bukan sekadar mengajar dalam bilik darjah, tetapi mereka mendidik, membimbing, mengurus murid, menangani isu kehadiran, melaksanakan aktiviti sekolah, mengurus dokumentasi termasuk memenuhi pelbagai tuntutan pentadbiran.
Dalam sesetengah keadaan, guru perlu memastikan murid yang tidak hadir kembali ke sekolah.
Usaha mendekati keluarga dan memahami punca ketidakhadiran sememangnya penting, tetapi tanggungjawab sedemikian memerlukan masa, tenaga serta sokongan yang sewajarnya.
Apabila pelbagai tanggungjawab perlu dilaksanakan serentak, tekanan untuk memenuhi sasaran tertentu boleh menjadi beban jika tidak disertai sumber manusia, masa dan sistem sokongan yang mencukupi.
Satu kajian pada tahun 2025 terhadap 100 guru di beberapa sekolah di Malaysia mendapati terdapat hubungan ketara antara beban tugas dengan burnout dalam kalangan pendidik.
Tugas pentadbiran dan kerja dokumentasi berlebihan antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada keletihan guru.
Hakikat ini tidak bermakna sasaran prestasi sekolah atau usaha meningkatkan kehadiran murid perlu diketepikan.
Sebaliknya, cara mencapai sasaran perlu mengambil kira realiti yang dihadapi guru di lapangan.
Guru juga manusia. Mereka mempunyai batas tenaga, masa dan emosi.
Justeru, apabila seorang guru menyuarakan keletihan, ia tidak sepatutnya dilihat sebagai kelemahan atau tanda tidak mampu menjalankan amanah.
Sebaliknya, ia mungkin menjadi isyarat bahawa terdapat ruang yang perlu diperbaiki dalam sistem sokongan kepada warga pendidik.
Pada masa sama, guru juga perlu diberi ruang untuk bersuara dan mendapatkan bantuan apabila berdepan tekanan berpanjangan.
Kualiti pendidikan bukan hanya bergantung kepada pencapaian angka, KPI atau statistik kehadiran.
Di sebalik setiap sasaran itu, ada manusia yang bekerja untuk mencapainya.