GEORGE TOWN – Sebanyak RM266,160 akan dibayar semula kepada pengguna susulan pembatalan kompaun kesalahan meletak kenderaan di luar petak yang dikeluarkan menerusi sistem Sistem Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR).
Sebanyak 29,240 kompaun bagi kesalahan berkenaan direkodkan sejak tahun lalu hingga Ogos 2026 untuk kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sahaja.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, keputusan membatalkan kompaun berkenaan dibuat selepas kerajaan negeri mengambil kira pandangan, kebimbangan dan maklum balas rakyat berhubung pelaksanaan sistem ANPR yang diintegrasikan dengan Penang Smart Parking (PSP).
"Kerajaan negeri turut mengambil maklum kebimbangan rakyat berhubung situasi pemandu yang hanya berhenti seketika bagi menurunkan atau mengambil penumpang sedangkan sistem ANPR tidak dapat menentukan sama ada terdapat individu dalam kenderaan pada ketika itu.
"Sehubungan itu, semua kompaun yang dikeluarkan menerusi sistem ANPR bagi kesalahan meletak kenderaan di luar petak akan dibatalkan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menghentikan pelaksanaan ANPR dalam mengeluarkan kompaun, berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan semakan semula dibuat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri mengambil maklum balas dan pandangan rakyat berhubung pelaksanaan sistem berkenaan oleh MBPP dan MBSP.
Dalam pada itu, Mooi Lye berkata, bagi kesalahan meletak kenderaan di luar petak pada masa akan datang, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara manual oleh pegawai penguat kuasa PBT di lapangan berdasarkan pemerhatian dan keadaan sebenar.
“Bagaimanapun, pengecualian adalah bagi kawasan larangan meletak kenderaan, berhenti atau yang menyebabkan halangan,” katanya.
Beliau menambah, individu yang telah membuat bayaran kompaun bagi kesalahan meletak kenderaan di luar petak yang dikeluarkan menerusi ANPR boleh membuat tuntutan bayaran balik sehingga 30 September 2026.
Katanya, proses tuntutan bayaran balik itu akan dikendalikan oleh MBPP dan MBSP.
“Bagi MBPP, dokumen yang diperlukan ialah resit bayaran kompaun dan salinan penyata bank.
“Tuntutan boleh dibuat di kaunter penerimaan dokumen tuntutan bayaran balik di Tingkat 3, Komtar secara fizikal atau melalui emel perbendaharaan@mbpp.gov.my,” katanya.
Bagi MBSP pula katanya, tuntutan boleh dibuat di Direktorat Penguatkuasaan MBSP, Tingkat 1, Pejabat Cawangan Jalan Betek, Bukit Mertajam atau melalui emel direktorat@mbsp.gov.my.
Menurutnya, dokumen diperlukan ialah resit bayaran kompaun dan salinan penyata bank.
“Bagaimanapun, bagi pembayaran kompaun yang dibuat melalui aplikasi PSP, bayaran balik akan diproses secara automatik ke dalam akaun dompet (wallet) PSP pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Mooi Lye berkata, kerajaan negeri turut memahami terdapat pengguna yang menerima kompaun menerusi ANPR kerana tidak membuat bayaran parkir walaupun sebenarnya telah membuat bayaran dalam tempoh 10 minit daripada masa kompaun dikeluarkan.
“Mana-mana individu yang menerima kompaun kerana tidak membuat bayaran parkir tetapi sebenarnya telah membuat bayaran dalam tempoh 10 minit daripada masa kompaun dikeluarkan boleh mengemukakan rayuan kepada kedua-dua PBT.
“Rayuan itu adalah bagi tujuan pembatalan kompaun dan bayaran balik sekiranya kompaun tersebut telah dibayar,” katanya.
Mooi Lye berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan suara dan keperluan rakyat Pulau Pinang di peringkat akar umbi menjadi teras dalam memastikan segala usaha serta perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan.