JPJ Kelantan bongkar pelbagai kesalahan institut memandu

Iklan
Mohd Misuari (kanan) bersama pegawai melihat Kenderaan Perkhidmatan Pelancongan (KPP) tanpa permit yang disita ketika ditemui Bernama di Ibu Pejabat JPJ, Panji. Foto Bernama

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan kesalahan berkaitan pengajar dan Lesen Belajar Memandu (LDL), dalam Operasi Penguatkuasaan Khas Institut Memandu yang dijalankan di 12 institut memandu di negeri itu dari 3 Ogos hingga semalam.

Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah kegagalan mengemukakan Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM), serta ketidakpatuhan syarat LDL apabila kenderaan digunakan tanpa pengawasan pengajar.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati kesalahan berkaitan rekod dan penyata, penyelenggaraan kenderaan dari aspek teknikal, kegagalan mempamerkan Disk Puspakom serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh.

Mohd Misuari berkata, pematuhan peraturan amat penting, kerana kenderaan institut memandu digunakan bagi latihan calon sebelum mereka menjalani ujian memandu.

Iklan

Beliau berkata, terdapat 16 institut memandu di Kelantan dan JPJ akan meneruskan pemeriksaan secara berkala, bagi memastikan pengurusan pengajar, rekod, penyelenggaraan serta keselamatan kenderaan memenuhi syarat ditetapkan.

"JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan, kerana keselamatan calon yang menjalani latihan serta pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Iklan

Mohd Misuari berkata, operasi itu, turut bertujuan memastikan pengoperasian institut memandu berada pada tahap ditetapkan, selain meningkatkan pematuhan terhadap peraturan dan syarat yang berkuat kuasa. - Bernama