KOTA KINABALU - Kerajaan Madani terus komited menjaga 'ekonomi rakyat' dengan memastikan prestasi ekonomi negara memberi limpahan nikmat yang dapat dirasai dalam kehidupan segenap lapisan masyarakat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, meskipun petunjuk ekonomi pada peringkat nasional dan negeri menunjukkan perkembangan memberangsangkan termasuk dari segi pelaburan, hasil, rizab, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perdagangan, perkara paling penting ialah kesannya terhadap kehidupan seharian rakyat.
"Ekonomi rakyat adalah ekonomi yang tuan-tuan dan puan-puan sendiri rasai. Sebagai contoh, pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel atau pun BUDI Madani. Kita tahu di Sabah serta Sarawak ada yang perlu merentas daerah dan melakukan perjalanan agak jauh. Perkara ini memang dalam perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Jemaah Menteri.
"Inilah yang membolehkan rakyat melihat bahawa kecemerlangan di peringkat nasional benar-benar memberi kesan sehingga dapat dinikmati, dirasai dan dizahirkan dalam kocek rakyat. Ini akan menjadi satu daripada keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Komunikasi Zon Sabah dan Labuan di sini pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) kementerian Datuk Aminurrahim Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Erwin Khairul Ahmad.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti Suwadi Guliling dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datin Rozita Waty Ridzuan.
Fahmi berkata, meskipun kerajaan terus memberi perhatian terhadap prestasi ekonomi makro secara keseluruhan, aspek yang lebih penting ialah memastikan pertumbuhan ekonomi tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai secara langsung oleh setiap individu dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, perhatian terhadap realiti kehidupan rakyat juga penting khususnya dalam pelaksanaan dasar seperti penyasaran subsidi yang memberi kesan berbeza mengikut lokasi dan keadaan setempat, termasuk di Sabah dan Sarawak yang mempunyai jarak perjalanan antara daerah yang jauh.
Fahmi berkata, dalam konteks itu, kementerian dan agensi kerajaan turut mempunyai tanggungjawab memastikan dasar serta program yang dilaksanakan dapat diterangkan dengan tepat dan menyeluruh kepada rakyat bagi mengelakkan salah tafsir atau kekeliruan. - Bernama