Jufazli kekal bebas dua pertuduhan komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri, UMNO

Iklan
Jufazli (kiri) kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dua pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri dan UMNO, empat tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Penulis blog, Jufazli Shi Ahmad kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin atas dua pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO melalui YouTube serta gagal memberikan kata laluan akaun aplikasi itu kepada pegawai polis, empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 18 Oktober 2024 yang melepas dan membebaskan Jufazli, 37.

Iklan
Iklan

"Setelah membaca rekod rayuan kes ini, alasan penghakiman Mahkamah Sesyen dan hujahan semua pihak, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan terdahulu," katanya.

Pihak pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry sementara Jufazli sebagai responden diwakili peguam, Ramesh NP Chandran.

Iklan

Pada 7 Julai 2022, Jufazli mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan pertama, membuat dan memulakan penghantaran komunikasi dalam bentuk video yang jelik sifatnya, dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Perbuatan dibuat melalui aplikasi YouTube King Maker Politik pada jam 3 petang, 27 Jun 2022.

Iklan

Pautan video berkenaan kemudian dilihat pada jam 3 petang di pejabat bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 1 Julai tahun sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Akta itu turut memperuntukkan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Bagi pertuduhan kedua, Jufazli didakwa gagal memberikan capaian kepada data berkomputer yang disimpan dalam telefon bimbitnya apabila tidak memberikan kata laluan laman profil aplikasi berkenaan seperti yang diminta pegawai polis pada jam 12.10 tengah hari, 5 Julai 2022.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 18 Oktober 2024, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Jufazli daripada kedua-dua pertuduhan berkenaan pada akhir kes pendakwaan.