KUALA TERENGGANU - Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan itu susulan beberapa isu dalaman yang timbul melibatkan parti berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini Bersatu masih anggota PN dan sebarang keputusan mengenai kedudukannya hanya akan dibuat selepas perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat gabungan berkenaan.
"Dalam kenyataan saya sebelum ini, saya nyatakan setakat hari ini (9 Ogos), Bersatu masih lagi dalam Perikatan Nasional. Apa yang berlaku seterusnya bergantung kepada mesyuarat yang akan diadakan nanti.
"Dalam muafakat PN ada keadaan dan peraturan tertentu. Jadi, kita akan bincangkan perkara ini dan buat keputusan berdasarkan pandangan serta permintaan ahli-ahli mesyuarat daripada parti komponen," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia 2026 peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Pelancongan Negeri, Datuk Tengku Ariffin Tengku Abdul Rahman.
Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat berkenaan bukan semata-mata untuk menentukan keanggotaan Bersatu dalam PN, sebaliknya turut membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.
"Bukan itu (kedudukan Bersatu) sahaja. Saya rasa perkara paling besar yang akan kita bincangkan ialah persediaan untuk menghadapi pilihan raya yang mungkin berlaku dalam waktu terdekat ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa Bersatu dipinggirkan daripada menyertai mesyuarat PN, Ahmad Samsuri berkata, perkara tersebut perlu dilihat berdasarkan isu yang timbul dalam Bersatu sendiri.
Beliau berkata, PN sebelum ini telah menghantar surat kepada Bersatu bagi mendapatkan penjelasan berhubung aduan yang dibangkitkan berkaitan keabsahan organisasi parti itu.
"PN tidak mahu mesyuarat yang dibuat menjadi tidak sah apabila salah satu ahli komponennya dipertikaikan keabsahannya.
"Jadi, saya rasa ini adalah masalah dalaman Bersatu yang perlu mereka selesaikan sendiri dan tidak boleh menyalahkan PN atau mana-mana pihak dalam PN," katanya.
Menurut Ahmad Samsuri, kedudukan Bersatu dalam PN juga akan dilihat berdasarkan perkembangan berkaitan status parti itu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Bagaimanapun, katanya, PN masih mempunyai hubungan baik dengan Bersatu malah tiada sebarang keputusan rasmi dibuat berhubung kerjasama antara parti komponen gabungan itu.
"Kita tengok apa yang masih berlaku kepada kedudukan mereka dari segi ROS," katanya.