SHAH ALAM - Industri pertahanan dan ketenteraan maritim negara melakar satu lagi pencapaian bersejarah apabila kapal ketiga Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dinamakan dan dilancarkan di Istanbul Shipyard, Türkiye pada Ahad.
Kapal perang moden berkenaan secara rasmi dinamakan Tunku Osman Jewa (143) dalam satu majlis yang disaksikan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan disempurnakan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff selaku Royal Sponsor.
Kerabat diraja Kedah turut berangkat mengiringi baginda berdua pada majlis berkenaan.
Delegasi Kementerian Pertahanan pula diketuai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Malek Razak Sulaiman.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datin Roszanina Wahab dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Ts Badarudin Taha yang mewakili Panglima Tentera Laut.
Menurut kenyataan media, penamaan kapal itu merupakan penghormatan bagi mengenang jasa dan mengabadikan legasi Almarhum Jeneral Tan Sri Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa, kerabat diraja Kedah yang merupakan Panglima Angkatan Tentera pertama daripada kalangan anak watan.
Dengan pelancaran kapal ketiga itu, tiga kapal LMSB2 iaitu Tunku Laksamana Abdul Jalil (141), Raja Laut (142) dan Tunku Osman Jewa (143) kini bersedia memasuki fasa seterusnya secara serentak.
Kesemua kapal tersebut akan menjalani fasa integrasi sistem penderia, pemasangan sistem peperangan dan persenjataan moden serta siri penilaian ujian pelabuhan dan ujian laut.
Pembinaan ketiga-tiga aset tempur strategik itu mengikut jadual dan dijangka diserahkan secara rasmi kepada TLDM pada penghujung tahun hadapan.