PN serah RoS siasat aduan Bersatu

Iklan
Takiyuddin berkata, pihaknya sebagai salah satu komponen PN sememangnya memperjuangkan kepentingan parti.

KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk menentukan tindakan susulan terhadap sebarang aduan yang mahu dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung dakwaan Pas memanipulasi gabungan itu untuk kepentingan politiknya.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya bersedia memberikan penjelasan sekiranya RoS meminta maklumat berkaitan, namun pada ketika ini tidak mengetahui bentuk aduan yang mahu dikemukakan Bersatu.

Iklan
Iklan

"Dia minta penjelasan kita, kita bagilah. Sekarang ini tak tahu apa aduan dia pun, kita tak tahu lagi. Dia nak buat aduan apa?" katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Panatia Induk Muktamar Tahunan Pas Kelantan Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini pada Ahad malam.

Terdahulu media melaporkan, RoS diminta mengambil tindakan segera bagi menangani kemelut yang berlaku dalam PN.

Iklan

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, Pas telah mempergunakan PN sesuka hati demi kepentingan politik parti itu, termasuk melalui tindakan unilateral yang menafikan hak parti anggota serta didakwa melanggar Perlembagaan PN.

Mengulas dakwaan Pas mempergunakan PN sesuka hati untuk kepentingan politik parti itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, pihaknya sebagai salah satu komponen PN sememangnya memperjuangkan kepentingan parti, sama seperti parti lain dalam gabungan berkenaan.

Iklan

Bagaimanapun, ujar beliau, Bersatu sendiri membuat keputusan untuk menggunakan logo parti itu pada pilihan raya tertentu dan Pas tidak pernah membuat keputusan untuk menghalang atau menarik balik penggunaan logo PN oleh Bersatu.

"Kalau Pas ahli PN, mesti mempergunakan PN untuk kepentingan parti-parti dalam PN.

"Kalau parti itu dia dah secara tidak langsung keluar daripada PN, termasuk dalam pilihan raya pun tak bersama PN, itu pilihan dialah. Kita tak ada buat keputusan apa-apa pun. Kita tak pernah suruh dia dan kita tak pernah tak bagi logo kepada dia," katanya.

Ujar beliau, keputusan Bersatu untuk menggunakan logo sendiri merupakan keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu dan bukan hasil keputusan Pas.

"Tak pernah. Kita tak pernah buat keputusan untuk Pilihan Raya Negeri Sembilan untuk menyingkirkan Bersatu, tak pernah.

"Tiba-tiba MPT dia buat keputusan untuk guna logo sendiri," katanya.

Ujar beliau, Bersatu sebelum ini bertanding di Melaka dengan jumlah kerusi yang lebih banyak, namun keputusan pilihan raya menunjukkan prestasi yang tidak seperti diharapkan.

"Dia kata logo dia ini sellable, boleh dijual dan mendapat sokongan banyak. Dia mungkin boleh buat kerajaan sebab dia tanding 24 kerusi, kalau dia menang 19 dia boleh buat kerajaan.

"Okeylah, kita tak boleh buat sebab kita 11 saja, tapi 11 campur 25. Dia 24 tak campur siapa-siapa, kalau dia menang 19 okeylah. Tapi yang dia dapat 23 kerusi, hilang deposit," katanya.