Jangan biar RCI berakhir di Dewan Rakyat

Iklan
TH bukan institusi kecil dan ia mempunyai lebih 9.7 juta pendeposit dan aset RM98.58 bilion

PENDEDAHAN Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) membuka ruang kepada rakyat, khususnya pendeposit, mengetahui apa yang berlaku terhadap institusi yang memegang amanah besar umat Islam.

Hari ini laporan berhubung pengurusan, operasi dan urusan aset TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 akan dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat.

Iklan
Iklan

Perbahasan itu penting. Ahli Parlimen wajar meneliti dapatan RCI, membangkitkan persoalan dan mendapatkan penjelasan.

Namun, Dewan Rakyat bukan mahkamah. Perbahasan juga tidak seharusnya menjadi ruang memuktamadkan kesalahan sesiapa lebih awal atau sekadar mencari kemenangan naratif. Biarlah fakta, bukti dan proses undang-undang menentukan siapa yang perlu dipertanggungjawabkan.

Iklan

Jangan juga biarkan RCI berakhir dengan perbahasan hangat sehari. Laporan itu menggariskan 25 syor penambahbaikan dengan kerajaan memaklumkan 75 peratus telah dilaksanakan. Pada masa sama, siasatan oleh agensi penguatkuasaan sedang berjalan.

TH bukan institusi kecil. Ia mempunyai lebih 9.7 juta pendeposit dan aset RM98.58 bilion, manakala lebih empat juta umat Islam mendaftar menunggu giliran haji. Sejak penubuhannya, lebih 1.5 juta rakyat Malaysia dibantu menunaikan Rukun Islam kelima.

Iklan

Lebih menyentuh, 53 peratus pendeposit mempunyai baki simpanan kurang RM1,300, menunjukkan besarnya kelompok penyimpan biasa yang bergantung kepada TH.

Jika terdapat bukti pelanggaran undang-undang, pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan atau pengaruh. Lebih penting, RCI mesti menjadi titik perubahan kepada tadbir urus TH. Setiap kelemahan dalam pelaburan, kawalan dalaman, proses membuat keputusan dan semak imbang mesti diperbaiki.

Selepas sidang khas berakhir, rakyat mahu lebih daripada ucapan dan pertikaman lidah. Mereka mahu tahu apa yang disiasat, apa yang diperbaiki, siapa yang dipertanggungjawabkan jika ada kesalahan dan bagaimana amanah pendeposit dilindungi selepas ini.

Sidang esok mungkin menutup satu bab perbahasan, tetapi usaha mencari kebenaran dan memperkukuh TH tidak boleh berhenti di situ.