SHAH ALAM - Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP mempunyai agenda untuk menghapuskan kaum Melayu dan agama Islam di negara ini dibuat bersandarkan akidah dan sejarah, bukan mengikut sentimen perkauman.
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, percaturan politik di Malaysia tidak boleh dipisahkan daripada lipatan sejarah panjang Tanah Melayu yang perlu difahami rakyat.
Menurut beliau, perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Marang itu adalah untuk menyedarkan masyarakat mengenai pertembungan akidah dan jati diri menentang doktrin penjajahan baharu
"Agenda DAP menerusi gagasan 'Malaysian Malaysia' hakikatnya adalah penjelmaan semula strategi perpecahan yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris. Ia merupakan doktrin sekularisme ekstrem yang bertujuan mencabut teras agama dalam pentadbiran negara.
"Islam dan Melayu di Nusantara adalah sinonim. Memisahkan orang Melayu daripada kuasa politik dan kedaulatan Islam bererti meruntuhkan benteng pertahanan agama di bumi ini.
"Mengambil berat tentang kelangsungan kepimpinan Melayu-Islam bukanlah 'Asabiyyah atau perkauman yang ditegah, tetapi satu kewajipan bagi memastikan Maqasid Syariah tertegak di bawah pimpinan yang sujud kepada ALLAH SWT," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Abdul Hadi menerusi Minda Presiden Pas bertajuk ‘DAP Memimpin PH Menyambung Kerja Penjajah Hapuskan Melayu Islam’ mendakwa DAP yang mendominasi PH sedang meneruskan agenda penjajah bagi melemahkan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.
Dakwa beliau, agenda berkenaan dilaksanakan melalui pendekatan politik, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran yang menurutnya berakar daripada sistem peninggalan penjajahan.
Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, umat Islam tidak boleh terbuai dengan slogan palsu 'Kerajaan Perpaduan' yang sebenarnya dikemudi oleh naratif penjajahan baharu.
Beliau dalam masa sama mempersoalkan isu yang terpalit dengan DAP dan PH antaranya desakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), mencara bidang kuasa syariah dan perundangan Islam dan normalisasi pemiliran liberal serta pluralisme memberi keuntungan kepada pihak mana.
"Melayu-Islam itu sifatnya amat bertoleransi atau tasamuh, sehingga hak orang bukan Islam terus dipelihara sekian lama. Namun, toleransi ini tidak bermakna kita harus menyerahkan leher untuk disembelih oleh pemikiran sekular.
"Dewan Ulamak Pqs Pusat menyeru segenap rakyat dan umat Melayu-Islam agar merapatkan saf perpaduan. Satukan tenaga dan suara di bawah payung kepimpinan yang bertakwa menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN)," katanya.