Gabungan baharu Warisan-STAR-KDM belum dimuktamad, 25 kerusi perlu ditandingi parti Sabah - Shafie Apdal

Iklan
Mohd Shafie ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) belum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), namun menegaskan 25 kerusi Parlimen di Sabah perlu ditandingi parti tempatan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keutamaan Warisan ketika ini adalah memastikan hak dan suara Sabah terus didengari dengan Blok Borneo antara pendekatan yang dilihat penting bagi mencapai matlamat berkenaan.

Iklan
Iklan

"Bagaimana untuk melaksanakannya adalah perkara lain. Sabah Block (Blok Borneo) merupakan salah satu perkara penting," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan Warisan membentuk gabungan baharu bersama STAR dan KDM bagi menghadapi PRU akan datang.

Iklan

Diminta mengulas sejauh mana perbincangan dengan kedua-dua parti berkenaan, Mohd Shafie berkata, perkara itu masih diperhalusi dan belum dimuktamadkan, namun terdapat kesamaan pandangan dalam usaha memastikan suara Sabah terus diketengahkan.

"Kita sedang melihat perkara itu. Kita belum memuktamadkan apa bentuk atau perkara yang perlu dilakukan, tetapi saya fikir terdapat kejelasan dalam fikiran mereka.

Iklan

"Mereka mahukan suara Sabah dan melihat Warisan sebagai antara parti yang paling berpengaruh di kawasan ini, yang saya fikir mampu mendapatkan sokongan daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Kita mempunyai masyarakat Cina, Kadayan, Bugis, Bajau, Dusun, Murut dan Tidong. Semua ada di sini, semuanya rakyat Malaysia dari Sabah," katanya.

Bercakap mengenai 25 kerusi Parlimen Sabah, bekas Ketua Menteri itu berkata, jumlah berkenaan perlu dilihat sebagai ruang untuk memastikan suara anak Sabah terus dibawa ke peringkat Persekutuan.

"Jadi 25 kerusi ini yang pentingnya kita fikirkan 25 kerusi ini bagilah kepada anak Sabah.

"Jangan kira jumlahnya, di Semenanjung 166, kita cuma 25 kerusi. Sudahlah kamu 160, kami baru 25 kamu ambil lagi. Ke mana orang Sabah punya suara," katanya.

Mohd Shafie berkata, suara Sabah bukan hanya berkaitan kepentingan negeri, sebaliknya turut memberi manfaat kepada negara secara keseluruhannya.

Menurutnya, Sabah juga perlu diberi ruang untuk memanfaatkan kekayaan dan sumber yang dimiliki negeri itu dengan lebih baik bagi kepentingan rakyat serta menyumbang kepada ekonomi negara.