Sindiket dadah eksploitasi pulau kecil: Pakar kriminologi cadang 3 tindakan segera

Iklan
Laporan muka depan Sinar Ahad

SHAH ALAM - Tiga tindakan segera dicadangkan kepada kerajaan sebagai langkah menangani kegiatan sindiket dadah yang mengeksploitasi pulau-pulau kecil di Sabah khususnya.

Pakar Kriminologi dan Keselamatan Sempadan, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zalmizy Hussin berkata, kerajaan perlu beralih daripada pendekatan 'peronda' kepada pendekatan jaringan keselamatan pintar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dicadangkan tiga tindakan segera iaitu menubuhkan komando pulau bersepadu dengan menggabungkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di bawah satu arahan di setiap daerah pulau.

"Kongsi bot, kongsi data, kongsi risikan serta jangan bergerak berasingan.

Iklan

"Keduanya ialah penggunaan teknologi dengan pemasangan radar pantai, kamera litar tertutup (CCTV) termal dan dron di pulau-pulau strategik.

"Guna kacerdasan buatan (AI) untuk kesan bot mencurigakan pada waktu malam," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Tambahnya, cadangan ketiga ialah melibatkan komuniti pulau di mana ketua kampung dan penduduk pulau adalah radar manusia terbaik selain mewujudkan skim ganjaran dan saluran aduan selamat.

Beliau berkata, terdapat tiga kelemahan yang perlu dibedah iaitu kelemahan risikan, undang-undang dan koordinasi serta kelemahan kawalan sosial ekonomi.

"Kita masih banyak bergantung kepada tangkapan selepas dadah masuk. Kita perlu lebih proaktif dengan jejaki rangkaian kewangan sindiket, jejaki bot yang kerap keluar masuk tanpa tujuan jelas selain perkemas bidang kuasa antara agensi penguat kuasa," ujarnya.

Katanya lagi, sekiranya sindiket dadah terus berleluasa mengeksploitasi pulau kecil, kesannya kepada keselamatan, ekonomi dan generasi.

"Hari ini mereka seludup dadah, esok boleh seludup senjata dan manusia. Sindiket tidak hantar semua dadah keluar. Sebahagian akan 'tumpah' dan dijual di negeri terbabit sendiri hingga anak muda di pulau dan bandar akan jadi mangsa pertama.

"Kita akan kehilangan satu generasi kepada ketagihan," ujarnya.

Tegasnya, pulau kecil merupakan aset negara.

"Kerajaan perlu isytihar Operasi Benteng Pulau secara besar-besaran. Bukan untuk berperang dengan nelayan, tetapi untuk menutup terus ruang yang dieksploitasi sindiket. Masa untuk bertindak adalah sekarang, sebelum hotspot ini bertukar menjadi sarang yang mustahil dibersihkan," ujarnya.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Ahad melaporkan di sebalik keindahan gugusan pulau di pantai timur Sabah, tersembunyi satu ancaman yang semakin membimbangkan apabila kawasan seperti Semporna dan Tawau dikesan menjadi antara lokasi strategik yang dieksploitasi sindiket dadah rentas sempadan.

Kedudukan geografi yang mempunyai ratusan pulau kecil, jeti terpencil, persisiran pantai yang panjang serta laluan laut tradisional menjadikan kawasan itu bukan sekadar laluan transit, malah titik penghubung penting antara rangkaian jenayah di Malaysia dengan beberapa negara jiran.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dilaporkan berkata, sindiket menggunakan pulau-pulau kecil, pesisiran pantai, jeti terpencil dan kawasan perairan yang kurang mendapat perhatian sebagai lokasi transit sementara atau drop point.

Menurutnya, dadah akan ditinggalkan di lokasi tertentu sebelum diambil oleh kumpulan lain pada masa yang berbeza.