10,000 sukarelawan jadi nadi SUKMA Selangor

Iklan
Ani (kiri) menyerahkan obor sempena Larian Obor SUKMA XXII sambil disaksikan Amirudin di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad.

SEPANG – Bukan sekadar atlet yang perlu bersedia untuk beraksi, malah seramai 10,000 sukarelawan turut digerakkan bagi memastikan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 berlangsung lancar.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sukarelawan yang menjadi 'wajah' temasya itu memainkan peranan penting dalam membantu kelancaran operasi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, komitmen sukarelawan juga secara tidak langsung membantu mempromosikan SUKMA.

“Dengan pergerakan sukarelawan yang besar ini, kita percaya mereka bukan sahaja boleh membantu melicinkan kejohanan, tetapi turut meningkatkan kesedaran awam dan mempromosikan SUKMA.

Iklan

“Kesemua mereka akan menjadi sebahagian penting dalam memastikan penganjuran ini berjalan lancar, berkesan dan kemas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Larian Obor SUKMA XXII sempena Hari Tanpa Kenderaan serta Himpunan Mega Sukarelawan SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 di Litar Antarabangsa Sepang di sini pada Ahad.

Iklan

Pada majlis itu, hampir 1,000 peserta menyertai Larian Obor SUKMA sejauh kira-kira 2.3 kilometer yang menjadi pusingan terakhir selepas obor berkenaan selesai merentasi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Katanya, kerajaan negeri juga menyediakan beberapa insentif bagi menghargai jasa dan peranan sukarelawan.

"Setiap sukarelawan menerima elaun RM100 sehari sepanjang tempoh bertugas, dua pasang baju-T dan kad akreditasi.

"Selain itu, elaun pengangkutan RM100 secara sekali bayar diberikan bersama perlindungan insurans bertugas sebanyak RM10,000,” katanya lagi.

Pada masa sama, Amirudin berkata, penglibatan semua daerah dalam penganjuran SUKMA 2026 penting bagi memastikan temasya itu benar-benar dirasai sebagai milik bersama seluruh rakyat Selangor.

Ujar beliau, semua PBT memainkan peranan dalam membantu pasukan dan sukan yang dipertandingkan, termasuk dari aspek pengangkutan, venue latihan, kemudahan serta sokongan kewangan.

"Selain itu, kerajaan negeri juga akan melantik seorang penyelaras bagi sukarelawan kita. Kita mahu kebajikan mereka dipantau pada setiap masa," katanya.

SUKMA Selangor 2026 mempertandingkan 469 acara menerusi 37 jenis sukan di 52 venue pertandingan di sembilan daerah seluruh Selangor serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.

Ia kemudiannya disusuli Para SUKMA dengan hampir 300 acara membabitkan 10 jenis sukan dari 5 hingga 14 September.

Temasya SUKMA 2026 turut menerima penyertaan kontinjen antarabangsa dari Brunei.

Amirudin (duduk, empat dari kanan) bergambar bersama kesemua 10,000 sukarelawan yang hadir pada Himpunan Mega Sukarelawan SUKMA 2026 Selangor di Sepang.

Sepang sedia gegarkan SUKMA

Sementara itu, persiapan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sebagai antara lokasi penting SUKMA kini berada di peringkat akhir dan berjalan lancar.

Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad berkata, tumpuan diberikan terhadap kesiapsiagaan venue pertandingan, logistik, kebersihan, keselamatan serta penyelarasan bersama Sekretariat SUKMA dan agensi kerajaan berkaitan.

"Persiapan SUKMA 2026 ‘Rentak Kita, Aksi Kita’ dalam daerah Sepang kini berada pada peringkat akhir dan dalam keadaan memuaskan.

"Semua venue pertandingan, aspek logistik, kebersihan, keselamatan serta penyelarasan bersama Sekretariat SUKMA, agensi kerajaan dan pihak berkaitan telah diperkemaskan,” katanya.

Menurutnya, aspek infrastruktur turut diberi perhatian termasuk kerja menaik taraf padang, trek, sistem pencahayaan, tandas awam, laluan pejalan kaki, kawasan parkir serta kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU).

Dari sudut ekonomi pula, Ani berkata, penganjuran SUKMA dijangka memberi limpahan kepada peniaga tempatan, pengusaha hotel, restoran, pengangkutan serta sektor pelancongan.

"Kelebihan lokasi strategik dan kemudahan sedia ada turut memberi potensi kepada Sepang untuk menjadi destinasi utama penganjuran acara sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

Ani (kiri) menyerahkan obor sempena Larian Obor SUKMA XXII sambil disaksikan Amirudin di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad.

INFO

Lokasi acara bagi SUKMA 2026 di Daerah Sepang:

1. Stadium BBST@Sepang

Tarikh: 11 – 23 Ogos 2026

Acara: Bola Sepak (Lelaki)

Kumpulan B: Pahang, Negeri Sembilan, Johor

2. Stadium Universiti Putra Malaysia – Zon Sepang Utara

Tarikh: 16 – 20 Ogos 2026

Acara: Olahraga

3. Dewan Sri Sarjana Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) – Zon Sepang Utara

Tarikh: 14 – 19 Ogos 2026

Acara: Pencak Silat

4. Stadium Institut Penilaian Negara (INSPEN) – Zon Sepang Utara

Tarikh: 17 – 22 Ogos 2026

Acara: Memanah

5. Persiaran Pantai Utara, Sepang Putra

Tarikh: 16 – 19 Ogos 2026

Acara: Berbasikal Lebuhraya

6. Velodrom Nasional Malaysia, Nilai

Tarikh: 16 – 19 Ogos 2026

Acara: Berbasikal Trek