KOTA BHARU - Demi mengaburi mata pihak berkuasa, seorang lelaki menggunakan kereta mewah jenis Toyota Vellfire sebagai 'kenderaan penghantar' untuk membawa 60,000 batang rokok putih tidak bercukai dalam serbuan di Jambatan Pasir Tumboh menghala ke Kubang Kerian, di sini pada Ahad.
Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi, lelaki berusia 37 tahun itu didapati positif dadah jenis amphetamine hasil ujian saringan air kencing.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan oleh anggota Task Force Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan Op Taring Wawasan selepas mengesan sebuah kereta mewah berwarna hitam dari arah Pasir Puteh menghala ke Kubang Kerian.
"Pemeriksaan terhadap kenderaan itu membawa kepada penemuan 60,000 batang rokok putih yang disyaki diseludup.
"Suspek yang gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan berkenaan kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Ujar beliau, hasil pemeriksaan turut merampas dua telefon bimbit serta wang tunai RM250.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM210,450 termasuk rokok bernilai RM112,200, Toyota Vellfire RM95,000 dan dua telefon bimbit RM3,000.
Beliau memberitahu, hasil soal siasat mendapati suspek mendakwa bekerja sebagai pemandu sepenuh masa selama kira-kira tiga tahun dan menerima bayaran RM200 bagi setiap penghantaran.
"Suspek memaklumkan kenderaan berkenaan bukan miliknya sebaliknya individu yang dikenali sebagai 'Bos Jue'.
"Lelaki berkenaan turut mendakwa ini merupakan kali pertama dia ditahan berkaitan kes penyeludupan rokok," katanya.
Ujar Ahmad Radzi, suspek dan rampasan rokok diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.