ITE Singapura terbuka kerjasama dengan ADTEC JTM

Iklan
Ramanan (kiri) semasa lawatan kerjanya ke ITE Singapura.

SHAH ALAM — Institute of Technical Education (ITE) Singapura menunjukkan keterbukaan terhadap cadangan mewujudkan program kerjasama teknikal bersama Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, cadangan itu dikemukakan semasa lawatan kerjanya ke ITE Singapura.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, lawatan itu adalah sebahagian usaha KESUMA memperluas jaringan kerjasama strategik antarabangsa dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut Ramanan, maklum balas positif daripada ITE Singapura membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk memperincikan bentuk kerjasama termasuk peluang pertukaran pelajar serta perkongsian pengetahuan dan prinsip amalan 'best practices' dalam latihan teknikal dan kemahiran.

Iklan

“Hasrat saya adalah untuk melihat pelajar ADTEC JTM mendapat pendedahan yang lebih luas menerusi program ini.

“Oleh itu, saya telah menyatakan cadangan ini semasa lawatan dan pihak ITE Singapura telah memberikan maklum balas positif.

Iklan

“Ini bukan sekadar mengenai pertukaran pelajar, tetapi bagaimana kita boleh menggunakan kerjasama ini untuk memperkukuh institusi TVET kita, meningkatkan pendedahan antarabangsa dan memastikan latihan yang diberikan sentiasa selari dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri,” katanya.

Hadir bersama delegasi ITE Singapura ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ITE, Dr Goh Mong Song; Pengarah Sekolah Perniagaan dan Perkhidmatan, ITE Kolej, Tan Wee Kiang; Penolong Pengarah Pejabat Antarabangsa, Bahagian Hal Ehwal Korporat dan Pembangunan, Jenn Tan; serta Eksekutif Kanan Pejabat Antarabangsa, Bahagian Hal Ehwal Korporat dan Pembangunan, Carol Lim.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, kerjasama itu juga berpotensi memberi peluang kepada pelajar untuk memahami pendekatan latihan teknikal dalam persekitaran yang berbeza.

Katanya, ia juga dapat membantu pelajar membina jaringan serta berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan pelajar dari negara jiran.

Menurutnya, pembangunan TVET tidak boleh bergerak secara bersendirian.

Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama erat dengan industri serta institusi latihan berkemahiran di peringkat serantau dan antarabangsa.

Ramanan berkata, perubahan teknologi, automasi, kecerdasan buatan (AI) serta kemunculan pekerjaan baharu menuntut institusi TVET sentiasa menyesuaikan kandungan latihan dan pendekatan pembelajaran dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

“Kita mahu ADTEC JTM terus bergerak ke hadapan.

“TVET tidak boleh hanya menyediakan tenaga kerja untuk memenuhi keperluan industri hari ini, tetapi mesti mampu melahirkan tenaga mahir yang bersedia untuk memenuhi keperluan industri masa hadapan.

“Justeru, kerjasama strategik seperti ini penting supaya kita dapat berkongsi kepakaran, mempelajari amalan terbaik dan seterusnya membawa pulang pengetahuan tersebut untuk memperkukuh ekosistem TVET negara,” katanya.

Ramanan juga berkata, KESUMA akan mengambil tindakan susulan bersama pihak berkaitan bagi memperincikan mekanisme dan skop program berkenaan sebelum ia dapat direalisasikan.