KUALA KRAI - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut semasa berkonvoi selepas terbabas dan dipercayai melanggar sebuah treler serta kereta dalam kemalangan di Kampung Stong, Jalan Gua Musang-Dabong, di sini pada Sabtu.
Lelaki berusia 31 tahun itu dikatakan sedang berkonvoi bersama rakan-rakannya dari Temerloh, Pahang menuju ke Betong, Thailand.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurut beliau, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah treler yang membawa dua traktor, motosikal ditunggang mangsa dan sebuah kereta.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang berkonvoi bersama rakan-rakannya dari Temerloh, Pahang menuju ke Betong, Thailand.
"Treler pula dalam perjalanan dari Pasir Puteh menghala ke Gua Musang, manakala kereta dipandu seorang lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun dari Kedah menghala ke Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mazlan memberitahu, setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ketika melalui jalan selekoh sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.
Ujarnya, motosikal mangsa melanggar bahagian kanan hadapan treler menyebabkan mangsa tercampak ke bahu jalan.
"Motosikal berkenaan kemudian terus bergerak memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah kereta yang sedang bergerak," katanya.
Ujar beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk proses bedah siasat.
"Pemandu kereta dan treler pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Mazlan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.
Beliau turut menasihatkan semua penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati ketika menunggang terutama ketika berkonvoi serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau menghubungi talian 09-966 6222," katanya.