BANGKOK - Jumlah korban insiden tembakan di sebuah sekolah di wilayah Nonthaburi, Thailand pada Jumaat meningkat kepada sembilan orang, menurut pihak berkuasa pada Sabtu, lapor Xinhua.
Memetik Kementerian Kesihatan Awam, jabatan perhubungan awam wilayah itu memaklumkan menerusi hantaran di Facebook bahawa setakat 4 petang waktu tempatan pada Sabtu, insiden berkenaan telah meragut sembilan nyawa, manakala 14 mangsa masih dirawat di hospital.
Iklan
Iklan
Menurut laporan, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun meninggal dunia selepas dihantar ke hospital.
Sekolah Debsirin Nonthaburi iaitu sekolah mangsa dan lokasi kejadian, turut merakamkan ucapan takziah menerusi media sosial.
Polis Thailand pada Sabtu memanggil beberapa pelajar dan guru sekolah berkenaan bagi menyiasat motif suspek berusia 14 tahun itu serta sumber peluru yang digunakan.
Polis turut memaklumkan bahawa sidang media akan diadakan pada Ahad bagi mengumumkan hasil awal siasatan.
Laporan terdahulu menyatakan bahawa serangan itu mengorbankan lapan orang termasuk suspek, datuk dan neneknya. - Bernama-Xinhua