DAMANSARA - Kementerian Digital menyasarkan sebanyak 500,000 capaian dan penglibatan secara fizikal serta dalam talian menerusi siri Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026 di lima lokasi terpilih seluruh negara.
Inisiatif itu dilaksanakan bagi memperluas akses rakyat kepada kemahiran, teknologi, peluang pekerjaan dan keusahawanan digital, selaras aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030) serta usaha menjadikan Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, JMD membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan manfaat transformasi digital dapat dinikmati oleh semua rakyat.
"Melalui JMD, lebih ramai rakyat dapat mengakses kemahiran digital, teknologi baharu dan peluang ekonomi yang mampu meningkatkan taraf hidup serta memperkukuh daya saing negara.
"Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk membangunkan bakat digital yang bersedia menghadapi era kecerdasan buatan (AI), memperkukuh daya saing negara dan merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah Negara AI menjelang tahun 2030," katanya selepas melancarkan JMD 2026 di Dewan Komuniti Damansara Damai di sini pada Sabtu.
Bagi edisi pertama itu, fokus diberikan kepada pemerkasaan usahawan tempatan melalui penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti, meluaskan pasaran dan menarik pelanggan baharu.
Antara pengisian utama ialah bengkel praktikal, perkongsian industri, demonstrasi AI, robotik dan dron, sesi jualan secara langsung, permainan digital serta bazar usahawan tempatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berkata, JMD menjadi platform yang menghubungkan rakyat dengan peluang latihan, pekerjaan, keusahawanan dan teknologi digital.
"JMD membuka laluan kepada rakyat untuk membina kemahiran, meneroka kerjaya baharu, menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan.
"Dengan memperluaskan akses kepada teknologi digital dan AI, kita bukan sahaja memperkasa rakyat, malah mempercepat pertumbuhan ekonomi digital negara," katanya.
JMD 2026 memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu Digital Literasi dan Etika, Digital Kerjaya, Digital Freelance dan Digital Perniagaan dan Keusahawanan.
Selepas Selangor, siri JMD 2026 akan diteruskan ke Dewan Bistari Ayer Keroh, Melaka, pada 15 Ogos 2026, sebelum menjelajah tiga lagi lokasi yang akan diumumkan kelak.