PH Pulau Pinang teruskan kerjasama dengan BN, UMNO

Iklan
Kon Yeow (duduk di tengah) bersama pimpinan PH PUlau Pinang mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat di George Town pada Sabtu.

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam pentadbiran kerajaan negeri. 

Keputusan itu diumumkan Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selepas mempengerusikan mesyuarat PH negeri pada petang Sabtu.

Iklan
Iklan

“Mesyuarat hari ini (Sabtu) mencapai kesepakatan untuk mengekalkan Exco BN dalam pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang sebagaimana kesefahaman kerjasama yang terjalin dalam PRN pada 2023.

“'Electoral pact' kita pada tahun 2023 adalah bersama BN sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat PH Pulau Pinang di Wisma DAP di sini pada Sabtu.

Iklan

Kon Yeow berkata, PH Pulau Pinang turut mengambil maklum pendirian di peringkat kebangsaan bahawa kerajaan perpaduan akan kekal sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Presiden UMNO dan Pengerusi BN telah menyatakan kerajaan perpaduan akan kekal sehingga PRU yang akan datang. Itulah pendirian rasmi daripada PH dan UMNO.

Iklan

“Di peringkat negeri, tidak ada apa-apa kenyataan yang bertentang dengan pendirian ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, PH Pulau Pinang tidak boleh berasa terlalu selesa dengan rekod pentadbiran negeri yang baik sebaliknya perlu memperkukuh strategi bagi menghadapi PRU akan datang.

Beliau yang juga bekas Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, prestasi kerajaan sememangnya penting namun persepsi dan sentimen rakyat bergerak lebih pantas berbanding fakta.

“Jika kejayaan tidak disampaikan dengan berkesan, ia tidak akan diterjemahkan sebagai sokongan di peti undi kelak,” katanya.

Kon Yeow menambah, PH Pulau Pinang masih mempunyai kekuatan kukuh terutama daripada segi perpaduan parti komponen serta rekod pentadbiran yang stabil dan berintegriti.

“Sebarang perpecahan atau percanggahan terbuka hanya akan memberikan kelebihan kepada pihak lawan.

"PH Pulau Pinang perlu memperkukuh kerjasama antara parti gabungan selain mempercepat agenda reformasi termasuk pembaharuan ekonomi, tatakelola, pengukuhan institusi dan kedaulatan undang-undang," katanya.

Menurut Kon Yeow, PH juga perlu lebih agresif menguasai naratif dengan menyampaikan pencapaian kerajaan negeri secara berkesan selain berani mengakui kelemahan sekiranya ada.

“Setiap kerusi di Pulau Pinang akan dianalisis dari pelbagai sudut termasuk mengambil iktibar daripada keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“Kita juga perlu menguasai ruang digital dengan lebih berkesan bagi menangkis naratif perkauman dan politik kebencian berasaskan fakta serta dekat dengan realiti kehidupan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PH turut memberi perhatian kepada kelompok pengundi muda termasuk generasi Undi18 yang semakin besar.

Katanya, setiap pemimpin, jentera dan parti komponen perlu terus bergerak sebagai satu pasukan dengan matlamat yang sama.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai benteng kukuh PH, simbol keyakinan rakyat dan kubu yang mesti terus diperkukuh.

“Dari Pulau Pinang, kita perlu mencetuskan gelombang baharu yang mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PH di seluruh negara,” katanya.

Kon Yeow berkata, mesyuarat PH Pulau Pinang itu menjadi titik tolak kepada gerakan yang lebih agresif, tersusun dan berdisiplin menjelang PRU akan datang.

“Kita bukan sekadar mahu mempertahankan apa yang kita masih ada, tetapi memperluaskan sokongan rakyat dan membina momentum kemenangan menjelang PRU kelak,” katanya.