Wawasan Terengganu 'buka pintu' buat bekas pemimpin, ahli Bersatu

Iklan
Abdul Aziz

KUALA TERENGGANU – Parti Wawasan Negara (Wawasan) Terengganu sedia membuka pintu kepada pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu yang telah meletak jawatan sekiranya mereka berhasrat untuk meneruskan perjuangan politik bersama wadah baharu yang lebih inklusif.

​Penyelaras Parti Wawasan Negara Terengganu, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, ketetapan itu dibuat berteraskan gagasan Konsensus Nasional Baharu yang menjadi falsafah perjuangan parti berkenaan.

Iklan
Iklan

​Menurutnya, sikap terbuka tersebut lahir daripada keyakinan bahawa landskap politik Malaysia perlu bergerak melangkaui perbezaan dalaman atau pergolakan semasa dengan berorientasikan kepentingan masa depan rakyat dan negara.

​"Ia bertepatan dengan jiwa besar Presiden Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengajak rakan-rakan pimpinan Bersatu yang telah berhenti untuk berjuang bersama Wawasan Negara ketika Mesyuarat Khas Perwakilan parti malam tadi.

Iklan

​"Sebagai parti yang menjadi jambatan penyatuan, Wawasan Negara mahu membuka ruang untuk menyatukan pengalaman, tenaga dan kekuatan semua pihak yang percaya bahawa politik Malaysia memerlukan pendekatan lebih matang, inklusif dan berteraskan kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Bersatu Terengganu berdepan krisis kepimpinan apabila pemimpin utamanya mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut sehingga menjejaskan struktur kepimpinan di peringkat negeri.

Iklan

​Situasi itu bermula selepas Razali melepaskan jawatan Ketua Badan Pimpinan Negeri yang disandangnya sejak 10 tahun lalu berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai punca tindakannya, namun mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Julai lalu.

​Selain Razali, dua lagi pemimpin kanan parti yang dikatakan akan turut melepaskan jawatan ialah ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail selaku Ketua Penerangan Bersatu Negeri dan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin sebagai Bendahari Bersatu Negeri.

Sementara itu, ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat yang memegang jawatan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri turut memberikan bayangan untuk mengambil keputusan sama.