Pempengaruh dakwa dibuli siber, modus operandi serang pemilik bisnes wanita

Iklan
Jumlah pengikut ketiga-tiga pempengaruh media sosial itu yang menjadi mangsa buli siber dan mendakwa reputasi perniagaannya semakin merosot.

KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya tiga pempengaruh media sosial kaum India mendakwa menjadi mangsa kempen buli siber dan fitnah berterusan oleh sekumpulan individu.

Mangsa pertama, B L Olivia Lopez berkata, lebih daripada dua individu didakwa berpakat membuli dengan cara memuat naik video, mengadakan sesi ‘live’ TikTok dan mengeluarkan pelbagai kenyataan berbaur ugutan, hinaan, aib serta fitnah tidak berasas terhadapnya sejak enam tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembuli juga didakwa sengaja memburuk-burukkan produk perniagaannya kepada pengikut TikTok sambil menuduhnya sebagai ‘scammer’, sedangkan perkara itu tidak berasas sama sekali.

“Dituduhnya kami macam-macam dengan menggelar kami ‘scammer’ produk. Kalau betul kami tipu, mana laporan polis ke atas kami? Satu pun tiada!

Iklan

“Buli siber yang bukan biasa-biasa kerana saya dan anak berdepan gangguan seksual juga. Mereka bercakap tentang kemaluan termasuk payudara anak saya yang masih bersekolah dalam ‘live’ TikTok sampai dia pernah mahu mengambil nyawa sendiri,” katanya.

Olivia berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di sebuah pejabat firma guaman di Plaza Damas, Taman Sri Hartamas, di sini pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sudah beberapa kali membawa anaknya menjalani rawatan psikiatri selepas sekian lama menjadi sasaran fitnah dan buli dalam talian.

Bukan itu sahaja, katanya, kira-kira 10 laporan polis berserta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah dibuat, namun setakat ini tiada maklum balas dengan alasan perkara tersebut bukan di bawah bidang kuasanya.

Disebabkan isu buli siber terhadapnya terus berlaku, pengasas jenama produk keagamaan itu mengakui hampir berputus asa.

Bagaimanapun, beliau tetap bangkit mempertahankan maruahnya termasuk mangsa-mangsa lain meskipun sehingga kini gagal mengetahui motif di sebalik gerakan kempen buli siber itu.

“Individu yang menuduh saya macam-macam ini kaum India juga. Saya tidak faham kenapa tuduh dan buli kami begini.

“Saya dan rakan-rakan mangsa yang lain syak mungkin ada individu lain membayar sejumlah duit kepada pelaku untuk sengaja memperlekehkan perniagaan kaum sendiri kerana modus operandinya sama.

“Isu ini saya sudah lapor kepada polis, bahkan mengadu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), satu tindakan pun tiada!” ujar ahli hipnoterapi klinikal bertauliah itu lagi.

Adiknya, B L Anita Lopez, turut berkongsi pengalaman buruk diganggu pembuli dalam talian.

Beliau yang merupakan pengarah di bawah syarikat kendalian kakaknya memberitahu, masalah buli itu berlarutan sehingga keluarga mentuanya memberikan layanan buruk dan mengganggu emosinya.

Lebih menyedihkan, keluarga mentuanya sampai enggan mengakuinya sebagai menantu disebabkan terlalu percaya kepada mulut-mulut jahat pelaku di TikTok.

Sehingga sekarang, dia tidak mampu berdepan dengan masyarakat setiap kali keluar bekerja kerana bimbang dengan tanggapan serong orang ramai.

“Mula-mula dia (pelaku) serang ‘founder’ wanita di Malaysia, lama-kelamaan dia sentuh saya, keluarga dan sekarang keharmonian rumah tangga saya hancur disebabkan fitnah ini.

“Pernah satu tahap saya mengambil nyawa sendiri tetapi tidak jadi, saya segera mendapatkan rawatan psikiatri akibat gangguan emosi,” jelasnya.

“Mereka menuduh tanpa ada bukti pun sedangkan kami menyimpan segala bukti berkaitan kesalahan mereka,” katanya lagi.

Atas dasar itu, dua beradik tersebut menggesa Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, supaya memberikan respons tentang isu buli siber yang selama ini mengganggu kesejahteraan emosi mangsa.

“Kami dah buat banyak laporan, takkan nak kami mati dahulu baru nak ambil tindakan? Cukuplah apa pernah terjadi kepada mangsa buli, Esha yang mati tahun lalu.

“Benar memang ada tindakan selepas ‘Fasal Esha’ diperkenalkan, tetapi saya rasa tidak cukup!

“Selepas didakwa, akaun TikTok pembuli digantung pun mereka bukannya tidak boleh buka akaun baharu dan orang yang sama masih teruskan buli siber,” kata Anita.