TEL AVIV – Seorang lelaki berusia 70 tahun meninggal dunia selepas dijangkiti virus 'West Nile', menjadikan 10 kes jangkitan disahkan di Israel pada musim ini, menurut Kementerian Kesihatan pada Khamis.
Lelaki berkenaan mula mengalami gejala pada pertengahan Julai sebelum dimasukkan ke hospital akibat komplikasi penyakit tersebut.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perlindungan Alam Sekitar, nyamuk pembawa virus West Nile turut dikesan buat kali pertama tahun ini di beberapa lokasi di Israel tengah.
Antara kawasan terlibat ialah Tel Aviv-Yafo, Tayibe, Tira, Qalansawe dan Majlis Wilayah Lev HaSharon.
Nyamuk dijangkiti virus berkenaan sebelum ini turut dikesan di kawasan selatan Israel pada awal 2026.
Kementerian Perlindungan Alam Sekitar mengarahkan pihak berkuasa tempatan memperluas usaha pencegahan, pemantauan, penyampaian maklumat kepada orang awam serta kawalan serangga perosak.
Ketua Bahagian Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Profesor Sigal Sadetzki berkata, demam West Nile menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk yang memakan burung dijangkiti.
“Dalam kebanyakan kes, penyakit ini adalah ringan dan tidak menunjukkan gejala. Namun, dalam kes jarang berlaku, gejala serius seperti keradangan otak atau selaput otak boleh berlaku.
“Risiko penyakit serius lebih tinggi dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan tertentu. Justeru, langkah pencegahan amat penting,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Kawalan Serangga Perosak Kementerian Perlindungan Alam Sekitar, Dr Shai Reicher berkata, nyamuk pembawa virus tersebut dikesan di beberapa lokasi di Israel tengah sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, gigitan nyamuk dijangkiti boleh menyebabkan virus itu dipindahkan kepada manusia dan seterusnya mengakibatkan jangkitan.
Beliau berkata, kementerian berkenaan telah mengeluarkan arahan terperinci kepada pihak berkuasa tempatan supaya mengambil tindakan segera bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan awam.
“Selain pemantauan dan kawalan serangga perosak, orang awam juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko pembiakan nyamuk,” katanya.
Virus West Nile lazimnya beredar dalam kalangan burung dan boleh menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk, terutama spesies Culex.
Virus tersebut tidak merebak secara langsung daripada manusia kepada manusia.
Kebanyakan jangkitan adalah ringan atau tidak menunjukkan sebarang gejala. Namun, komplikasi neurologi serius seperti radang otak (encephalitis) atau radang selaput otak (meningitis) boleh berlaku, khususnya dalam kalangan warga emas dan individu yang mempunyai sistem imun lemah.
Tiada rawatan antivirus khusus atau vaksin manusia yang diluluskan bagi virus West Nile ketika ini. Rawatan diberikan berdasarkan gejala dan keadaan pesakit.
Israel pernah merekodkan penularan besar virus West Nile pada 2024 dengan lebih 930 kes dan kira-kira 73 kematian. Keadaan cuaca yang sesuai untuk pembiakan nyamuk antara faktor yang dikaitkan dengan peningkatan kes ketika itu.
Jumlah kes bagaimanapun jauh lebih rendah pada 2025.-Agensi